Kawan-kawan setia

Khamis, 20 Mac 2008

Khir Toyo letak jawatan UMNO, BN

Oleh Rozilan Salleh dan Yazid Alias

SHAH ALAM 19 Mac – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo malam ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkuat kuasa serta-merta.

Mohamad Khir mengambil keputusan itu sebagai rasa bertanggungjawab ekoran prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

Serentak dengan itu, katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju dengan keputusannya dan melantik Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib untuk mengisi kedua-dua jawatan tersebut.

“Saya meminta maaf kepada rakyat Selangor kerana prestasi buruk ini dan kita akan berusaha untuk mengambil semula negeri ini (daripada parti pembangkang).

“Kalau saya lambat membuat keputusan, masalah lain mungkin akan timbul dalam usaha kita untuk menawan semula Selangor, ini kerana dengan prestasi buruk itu, wujud salah menyalah antara satu sama lain dan akan memburukkan parti yang saya pikul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan dalam masa kurang 10 minit, sebelum mempengerusikan buat kali terakhir mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Selangor di Pejabat UMNO negeri di sini malam ini.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Muhammad sendiri dan barisan kepimpinan UMNO negeri serta ketua-ketua UMNO Bahagian.

Mohamad Khir, 43, yang mula memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor pada 24 Januari 2002, bagaimanapun menafikan keputusan itu berikutan tekanan mana-mana pihak termasuk oleh ketua-ketua UMNO bahagian di Selangor.

“Tidak ada tekanan mana-mana pihak tetapi rasa bertanggungjawab, kita pemimpin, kita bertanggungjawab dalam keadaan UMNO Selangor sekarang ini,” katanya.

Menurut beliau, hasrat melepaskan jawatan itu yang timbul ketika UMNO Selangor melakukan ‘post-mortem’ kekalahannya, telah dimaklumkan kepada Abdullah dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa hari lepas.

Sehubungan itu beliau meminta semua ahli UMNO di Selangor menerima keputusannya dan meneruskan perjuangan bagi memastikan UMNO merampas semula negeri tersebut.

Pada pilihan raya umum lepas, BN hanya mampu memenangi 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima kerusi Parlimen di Selangor.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 15 kerusi DUN dan sembilan Parlimen manakala DAP 13 DUN dan empat Parlimen sementara Pas menang lapan DUN dan empat Parlimen.

Ekoran itu, parti-parti pembangkang berjaya membentuk kerajaan negeri dan melantik Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Mengulas lanjut, Mohamad Khir berkata, beliau akan terus memberikan sokongan kepada Muhammad yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah hari ini, untuk menerajui UMNO dan BN Selangor.

“Ini adalah keputusan yang terbaik untuk masa depan, ini bukan masa kita untuk berpecah tetapi ia masa untuk kita bersatu,” tegasnya.

Menurut Mohamad Khir, jawatan-jawatan lain dalam Badan Perhubungan UMNO dan BN negeri akan ditentukan oleh Muhammad selepas ini.

Sementara itu, Muhammad yang diminta mengulas keputusan Mohamad Khir, menyuarakan rasa terkejut dengan tindakan itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut atas alasan tidak bersedia memberikan sebarang kenyataan.

Tiada ulasan: