Kawan-kawan setia

Rabu, 16 April 2008

Harakahdaily: Black 14: MB Selangor telah mohon, tulis surat pada polis

Roy Rasul Foto Wan Zahari Wed Apr 16, 08 6:46:48 am MYT
SHAH ALAM, 16 April (Hrkh) - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, selaku Menteri Besar dan juga Presiden Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, beliau yang membenarkan perjumpaan 'Gelita 14' bagi semua penyokong Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), diadakan kerana ia berada dalam kawasan kelab berkenaan.
Malah katanya, beliau menulis surat kepada polis untuk memohon dan memaklumkan mengenai perjumpaan yang diadakan pada malam semalam. "Kebiasaannya semua perjumpaan yang diadakan di dalam kawasan yang tertutup atau kawasan persendirian tidak perlu mendapat permit daripada polis. "Bagaimana kita mengadakan perjumpaan dengan polis sebelum majlis tersebut dilangsungkan," katanya kepada media selepas beliau mengiringi rombongan Exco-exco Kelantan melawat pejabatnya di Bangunan Sultan Abdul Aziz (SUK) Shah Alam, petang semalam.
Dalam pada itu beliau berkata, tindakan polis yang begitu pantas memanggil beberapa pimpinan tertinggi KeADILan termasuk beliau sendiri pagi tadi berhubung majlis tersebut dilihat sebagai tanda permulaan kecekapan polis. "Bagi saya tak ada banyak persoalan tetapi saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan cepat," katanya. Katanya, sebagai Menteri Besar beliau berharap polis dapat bekerjasama terutamanya di atas perkara-perkara yang diperlukan kedua belah pihak. "Kita telah membuat perjumpaan dengan polis bahawa majlis kita berakhir pada pukul 11.00 malam. "Bagaimanapun semalam polis datang meminta kita berhenti pada jam 10.30 malam. "Kita bersetuju kerana mereka berpendapat terlalu ramai orang datang dan kita berhenti di situ jadi bukan atas alasan kita tidak dapat permit," katanya. Oleh sebab itu katanya, alasan tidak ada permit tidak timbul. Atas sebab itu katanya, Timbalan Presiden KeADILan, Syed Husin Ali melahirkan rasa kesalnya di atas tindakan polis datang ke rumah pimpinan tertinggi parti awal pagi tadi antaranya, kediaman Presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail berhubung majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 20 ribu orang semalam.
Menurutnya majlis tersebut berlangsung tanpa berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini.
"Saya difahamkan bahawa Ketua Polis yang menjaga program pada malam tadi membuat kenyataan kepada TV dan akhbar bahawa tidak ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. "Ini satu perkara dan contoh yang sangat baik walaupun ramai yang datang ke majlis tersebut," katanya. Sementara itu, majlis tersebut turut dihadiri Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim bagi meraikan pembebasan beliau secara daripada sekatan undang-undang dan larangan untuk bergiat aktif dalam politik mulai 14 April semalam.
Dalam pada itu kata Khalid, sebagai Presiden di Kelab tersebut beliau akan membenarkan bukan saja kepada parti KeADILan bahkan Umno dan PAS pun boleh menggunakan premis tersebut.
Ini katanya, premis tersebut dikenakan sewa. Jadi katanya, jika program yang dianjurkan itu bersesuaian beliau tidak keberatan untuk membenarkannya. Sementara itu mengulas mengenai kehadiran yang begitu ramai semalam beliau berkata ia sememangnya tidak dijangka. Dalam pada itu katanya, polis mengambil keterangan daripadanya hari ini bagaimanapun beliau meminta peguam kerajaan negeri Selangor melihat perkara itu.
Sebelum itu, beliau menerima kunjungan hormat daripada Exco-exco kerajaan kelantan yang diketuai oleh Speaker Dewan Negeri Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim Abdullah dan Timbalannya Nasaruddin Daud. Delegasi tersebut turut disambut barisan Exco Selangor iaitu antaranya, Dato' Dr Hasan Ali, Iskandar Samad, Teressa Kok, Ellyzabeth Wong dan Dr Xavier Kumar. "Ia adalah kunjungan mesra dari Speaker dan Exco Kelantan bagi memperkenaklkan kepada Exco dan saya di negeri selangor. "Saya ucapkan terima kasih di atas kehadiran mereka supaya dapat mengenali satu sama lain di samping membuat pertukaran maklumat dan fikiran demi membentuk sebuah pentadbiran yang lebih baik," kata Khalid lagi. - mks.

1 ulasan:

roslisalem berkata...

salam..
blog bagus..giatkan promosi .. cuma naktanya .. tak letak meter ka? baru tahu berapa pelawat etc ..