Kawan-kawan setia

Selasa, 1 April 2008

Harakahdaily - Dr Shafie sampaikan anugerah 'Pelajar Cemerlang Dun Bangi'




KUALA LUMPUR, 1 April (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar telah menyampaikan 'Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Bangi' kepada 68 orang pelajar cemerlang dari Dun itu pada Hari Kesyukuran Dun Bangi baru-baru ini.


Menurut Dr Shafie dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, 'Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Bangi' diwujudkan dengan peruntukan sebanyak RM8,000 disediakan sebagai galakan dan insentif kepada pelajar-pelajar bagi meningkatkan kecemerlangan mereka di dalam pelajaran.
Jelas Shafie, galakan kepada pelajar bagi meningkatkan kecemerlangan telah lama diadakan sejak beliau menjadi Adun Kajang (1999-2004).
Insentif tersebut tetap diteruskan walaupun beliau tidak menjadi wakil rakyat pada 2004 sehingga 2007.
Pada tahun 2006 PAS Serdang mengeluarkan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi membantu pelajar-pelajar miskin dan cemerlang. Manakala pada 2007 peruntukan sebanyak RM7,000 disediakan bagi tujuan berkenaan.
'Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Bangi 2008' melibatkan 68 orang pelajar cemerlang di sekolah-sekolah menengah di DUN Bangi dan pelajar-pelajar cemerlang dari DUN Bangi yang belajar di sekolah-sekolah di luar DUN Bangi.


Jelas Shafie, beliau menghrapkan dengan galakan tersebut walaupun setiap pelajar hanya menerima RM100 seorang serta 'warkah pengiktirafan' dapat menyuntik semangat kepada pelajar-pelajar agar mereka lebih bersungguh-sungguh dalam menghadapi pelajaran dan lebih berjaya pada masa hadapan.
"Sebenarnya penggalakan di dalam bidang pelajaran ini sebagai pengisian sebahagian dari visi dan misi kita di Bangi, iaitu menjadikan Bangi sebagai 'Bandar Ilmu' yang menjadi salah satu komponen daripada tawaran (Manifesto Bangi), iaitu 'Bangi Bandar Ilmu'.
"Sememangnya hasrat ini wajar lantaran Bangi ini dikelilingi beberapa buah universiti dan kolej seperti UKM, Uniten, UPM, Universiti Multi Media, Universiti Lim Kok Weng, Universiti Kuala Lumpur dan USIM. Kita akan mengambil manfaat daripada kewujudan universiti-universiti dan berbagai institut dan pengajian serta tokoh-tokoh ilmuan darinya bagi mempromosi Bangi sebagai 'Bandar Ilmu'," katanya.
Shafie juga menjelaskan, Dun Bangi berhasrat menerbitkan jurnal yang dikenali dengan 'Jurnal Bangi' yang mana kandungan antaranya hasil dari kegiatan ilmiah penulisan dan penerbitan yang dihasilkan oleh rakyat kawasan Bangi.


Tambahnya, kerjasama juga akan dilakukan dengan pihak universiti dan pengajian-pengajian swasta dalam dan luar negeri bagi mempromosi dan meningkatkan Bangi sebagai 'Bandar Ilmu'.
Jelasnya, dengan kegiatan ilmu dan insentif yang diberikan akan melahirkan tokoh-tokoh ilmuan tempatan, pemimpin di dalam berbagai bidang, bahkan akan melahirkan 'Aliran Pemikiran Bangi' sebagaimana lahirnya 'Ikhwan al-Safa' suatu ketika dahulu .
Selain itu katanya, satu aspek penting dalam mempromosikan 'Bangi sebagai Bandar Ilmu' ialah dengan menggalakkan penerbitan-penerbitan ilmiah antaranya ialah dengan memberi anugerah kepada hasil-hasil ilmiah di Bangi. Di samping itu katanya kegiatan-kegiatan budaya bertaraf tinggi juga akan diadakan.
Katanya, hasrat tersebut dapat direalisasikan dengan mengadakan dialog peradaban antarabangsa dan antara kaum dan mempromosikan persatuan penulis tempatan. - mns

Tiada ulasan: