Kawan-kawan setia

Isnin, 14 April 2008

Isu babi Selangor: Syarikat bumiputera, bekas Adun Umno terlibat

Harakahdaily melaporkan Mon Apr 14, 08 3:10:10 pm MYT
KUALA LUMPUR, 14 April (Hrkh)
Syarikat bumiputera turut terlibat dalam projek penternakan babi di Selangor yang menimbulkan kontroversi minggu lepas dan seorang wakil rakyat Umno "di belakangnya", kata seorang pemimpin MCA. Menurut laporan Malaysikini, syarikat tersebut, yang terlibat dalam satu usahasama, bercadang menggunakan wang - dilaporkan menelan belanja RM100 juta - daripada sumber-sumber dana program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Mendedahkan perkara itu kepada satu sidang media hujung minggu lalu, ketua biro pertanian tradisi MCA Dato' Dr Lee Chong Meng berkata syarikat bumiputera itu berhasrat membawa masuk teknologi Jerman untuk projek tersebut.
Akhbar The Sun hari ini yang mengutip laporan The Oriental Daily kelmarin menyebut, wakil rakyat BN-Umno bagi kerusi Tajung Sepat, Datuk Karim Mansor, bersama seorang ketua kampung di situ turut bersama dalam rombongan ke luar negara untuk melihat teknologi tersebut. Karim antara pemimpin Umno yang lantang membantah isu itu di akhbar-akhbar berbahasa Melayu minggu lepas. Sementara ketua kampung di Ladang Tumbuk - tempat projek itu diadakan - turut menyertai bantahan projek tersebut di depan bangunan kerajaan negeri Selangor di Shah Alam.
Rabu lalu, 200 penduduk kampung di sekitar Sepang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebagai membantah projek berkenaan.
Dr Lee berkata beliau mengetahui segala-galanya tentang projek tersebut "seperti tapak tangannya sendiri" kerana terlibat sendiri dengan semua mesyuarat berhubung perkara tersebut.
Menteri Besar Selangor waktu itu Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo sendiri telah meluluskan projek pemindahan 132 ladang babi ke projek tersebut, kata Dr Lee, melalui dua ahli exco kerajaan negeri Datuk Ch'ng Toh Eng dan Datuk Tang See Hang. Dr Lee menambah, sebelum pembubaran parlimen, kerajaan Selangor bawah pentadbiran BN meluluskan projek tersebut dan Karim sendiri menyokong projek tersebut. Ketua biro MCA itu kesal kerana Karim dan ketua kampung itu sanggup membantah projek tersebut semata-mata kerana kepentingan politik.
Karim, dihubungi Malaysiakini hari ini, menafikan beliau membantah projek tersebut.
Sementara itu sumber-sumber PKR memberitahu, risalah-risalah penerangan tentang isu tersebut - termasuk maklumat yang didedahkan oleh MCA ini - akan diedarkan kepada penduduk Selangor. PAS sebelum ini dilaporkan akan menemui rakyat Selangor untuk menjelaskan isu tersebut yang mendapat liputan meluas - yang membawa kesan negatif kepada pentadbiran Pakatan Rakyat - di akhbar-akhbar berbahasa Melayu selama beberapa hari minggu lepas. - mks.

Tiada ulasan: