Kawan-kawan setia

Isnin, 14 April 2008

Kenyataan Media ADUN Bangi 13 April 2008

Angkat Sumpah dan Penyampaian Wathikah AJK Bertindak Kabinet Mini DUN Bangi
Kabinet Mini DUN Bangi adalah peningkatan peranan dan kualiti dari AJK Bertindak DUN Kajang yang pernah diwujudkan pada masa ADUN Bangi kini menjadi ADUN Kajang (1999-2004). Ini bererti menjadikan DUN Bangi seolah-olah sebuah "Kerajaan Kecil" yang meniru Kabinet Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Selangor di bawah "Kerajaan Pakatan Rakyat". Jawatankuasa Bertindak seolah-olah Kementerian-Kementerian dan EXCO dalam kerajaan federal dan negeri. Tetapi AJK Bertindak Kabinet Mini tidaklah seluruhnya mengikuti Kementerian dan Exco pada peringkat pusat dan negeri, sebaliknya jawatankuasa-jawatankuasa bertindak yang dilantik adalah bagi menunaikan manifesto (Tawaran) DUN Bangi, iaitu menjadikan Bangi DUN sejahtera, Aman, Mementingkan Ilnu, perihatin dan berkebajikan. Pendek kata perlantikan dibuat menurut kesesuaian dan keperluan setempat.
Kabinet DUN Bangi ini mungkin dari segi jumlahnya lebih besar dari kabinet kerajaan federal dan exco kerajaan negeri, tetapi ianya mempunyai tujuan tersendiri. Tujuan utama pembentukan dan perlantikan AJK Bertindak Kabinet Mini DUN Bangi ialah bertujuan membantu ADUN Bangi mencari pendekatan terbaik dan efektif bagi melaksanakan tugas-tugas terhadap masyarakat di DUN Bangi menurut kepakaran masing-masing. Selain dari itu perlantikan adalah sebagai penghormatan terhadap mereka yang bertungkus-lumus bekerja selama ini membantu kita memenangi DUN Bangi dengan kemenangan yang cukup selesa. Tenaga-tenaga terbaik ini kita tidak mahu terabai begitu sahaja selepas mencapai kemenangan, bahkan kita mahu mereka terus memberi sumbangan terbaik terhadap DUN Bangi yang mereka sendiri merasa megah dan bersyukur terhadap kemenangan yang dicapai dan sudah tentu mau mempertahan dan memperbaiki prestasi dan kemenangan ini pada masa hadapan.
Sebagaimana disebutkan Kabinet Mini DUN Bangi antaranya memberi penghormatan terhadap mereka yang berkhidmat dan menjayakan kemenangan di DUN Bangi. Sebenarnya setiap AJK Bertindak dikehendaki melantik AJK Kecil bagi AJK Bertindak masing-masing antara 3 hingga 5 orang nagi melicinkan perjalanan dan tindakan AJK-AJK di dalam kabinet tersebut. Pada hari ini hanya ketua-ketua bagi AJK Bertindak Kabinet Kabinet DUN Bangi mengangkat sumpah. AJK-AJK di dalam AJK-AJK bertindak yang bersifat multirasial, khususnya dari kalangan kaum India dan Cina turut dilantik. Perlantikan dan wathikah akan disampaikan kemudian.
Setakat ini jumlah kerusi bagi ketua-ketua AJK Bertindak Kabinet Mini DUN Bangi yang difikirkan perlu ialah sebanyak 21 kerusi, iaitu AJK-AJK yang melibatkan:
1. Pendidikan, Instutusi Agama dan JKKK
2. Penerangan
3. Wanita dan Kesihatan
4. Persatuan Penduduk, NGO dan PIBG
5. Hartanah, Kemudahan Awam dan Perniagaan
6. Teknologi Maklumat dan Komunikasi
7. Industri dan Premis
8. Pusat Khidmat Masyarakat
9. Hubungan Antara Kaun dan kelab Penyokong
10. Infrastruktur
11. Kebajikan
12. Alam Sekitar
13. Sukan dan Rekreasi
14. Amar Maaruf dan Nahi Mungkar
15. Keselamatan
16. Dakwah dan tazkirah
17. Dana
18. Belia
19. Hubungan Surau/Masjid
20. Media
21. Bandar Ilmu
Setiap AJK di atas bukan sahaja dikehendaki melantik AJK Kecil mereka, tetapi juga melengkapkan ruanglingkup tugas dan peranan mereka serta tindakan-tindakan yang seharusnya mereka ambil. Prestasi mereka adalah dipantau dan sekiranya tidak mencapai piawaian yang diharapkan, mereka akan digantikan.
Adalah menjadi harapan melalui AJK dan kerja-kerja yang dilakukan DUN Bangi dapat mencapai prestasi tinggi di dalam memberi khidmat kepada masyarakat. Kami menyedari bahawa kami berada di dalam masyarakat Bangi yang dikenali sebagai masyarakat berilmu dan multirasial. Harapan mereka terhadap kami adalah tinggi dan kami perlu memenuhi kemahuan dan harapan masyarakat yang bersifat multirasial. Kami berusaha memenuhinya melalui janji kami menjadikan DUN Bangi sebagai kawasan dan Bandar Sejahtera, Aman, Mementingkan Ilmu Prihatin dan Berkebajikan
Sekian. Terima kasih
Dr Shafie Abu Bakar
ADUN Bangi
06 R. Akhir 1429
13 April 2008

Tiada ulasan: