Kawan-kawan setia

Isnin, 14 April 2008

Lebih 40 ribu borang ahli PAS habis di Kedah

Harakahdaily - MERBOK, 14 April
Lebih 40,000 borang keahlian PAS habis dalam seminggu di Kedah, demikian menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Hassan Razak semasa merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Merbok Kali Ke-24 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Merbok (PUTIM), Pengkalan Kakap di sini.
"Keadaan hari ini, lepas kita menang di beberapa buah negeri, pakat menderu-menderam ambil borang. Borang KeADILan, borang-borang PAS, borang Kelab Penyokong PAS
40,000 dicetak untuk negeri Kedah, tak sampai seminggu habis! La ni kita ada 150,000 ahli PAS seluruh Kedah, lepas ni akan jadi 190,000 insya-Allah," ujarnya.
Dalam ucapannya, beliau turut mengimbas kembali kebangkitan rakyat pada pilihan raya yang lalu yang disifatkan beliau masih belum disedari pemimpin Barisan Nasional (BN) sedangkan rakyat semakin sedar.
"Sepatutnya sebagai orang politik sudah boleh baca apabila orang India menyebut 'Makkal Sakhti' sepatutnya dia (pemimpin BN) sudah boleh fikir. Apabila orang Cina menyebut 'Gai Ge', dia boleh fikir. Apabila orang Melayu menyebut 'Reformasi' sepatutnya mereka sudah boleh fikir.
"Tetapi mereka masih tidak boleh fikir kerana pemikiran mereka dihalang, ditadbir, didinding oleh projek-projek besar yang menguntungkan mereka dan menguntungkan peribadi anak menantu mereka," ujar beliau.
Selain itu, beliau turut melahirkan rasa kesal dengan sikap pemimpin BN Kedah yang meninggalkan jumlah beban hutang yang besar.
"Rupanya selama 50 tahun mereka mentadbir, bukan mereka mentadbir untuk memberi pembangunan kepada rakyat. Bukan mereka tadbir untuk memberi kebajikan kepada rakyat. Bukan mereka gunakan semua agensi kerajaan itu untuk mentadbir pembangunan rakyat.
"Rupa-rupanya wang yang banyak itu mereka agih untuk diri mereka dan ahli keluarga mereka, konco-konco mereka, pengampu-pengampu mereka menyebabkan rakyat memikul bebanan yang begitu berat iaitu RM2 bilion hutang yang ditinggalkan," katanya.
Dalam menjelaskan tanggungjawab kerajaan baru memikul hutang itu, beliau memberikan analoginya yang tersendiri.
"Nak buat macam mana dah kita menikah dengan janda orang. Janda tu berhutang, maka kita berkahwin dengan dia, sebagai suami dia maka tanggungjawab dan kewajipan suami baru kepada janda tersebut kena bayar hutangnya walaupun RM2 bilion," ujarnya.
Dalam ucapannya itu, beliau turut menyeru agar ahli parti berperanan sebagai kerajaan bukan lagi bersikap pembangkang. Malah menyentuh hubungan dengan bukan Islam beliau meminta ahli parti mewujudkan pendekatan yang berakhlak.
"Jadi gunalah bahasa dan pendekatan yang baik dengan orang yang bukan Islam dengan akhlak kita yang terpuji untuk menawan hati mereka. Hasil daripada mereka tertawan dengan akhlak kita, maka mereka akan bersama-sama dengan kita.
"Yang boleh pusing hati mereka Allah SWT sahaja, kita hanya boleh tunjuk akhlak yang baik macam Nabi menunjukkan akhlak yang baik kepada seluruh masyarakat Arab," serunya.
Turut hadir pada perasmian tersebut ialah Ahli Parlimen Merbok, Dato' Rashid Din dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Azmi Abdul Hamid. - mks.

Tiada ulasan: