Kawan-kawan setia

Rabu, 9 April 2008

PM diminta bercuti, Najib pemangku

Malaysiakini 9 April melaporkan,
Sebahagian besar ketua bahagian Umno di Johor mahu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil cuti daripada menjalankan tugas perdana menteri dan presiden parti bagi meredakan kemarahan ahli Umno ekoran kekalahan teruk parti itu dalam pilihanraya umum 8 Mac.Menurut mereka, Abdullah perlu bercuti dan menyerahkan tugasan nya sekarang kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak.Desakan tersebut dibuat dalam perjumpaan kira-kira 20 ketua bahagian dengan menteri besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di kediamannya di Johor Bahru awal minggu lalu.Bagaimanapun, enam lagi ketua bahagian yang terdiri daripada menteri kabinet dan seorang timbalan menteri, tidak dijemput menghadiri perjumpaan tersebut. Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Semberong), Datuk Shahrir Abdul Samad (Johor Bahru), Datuk Khaled Nordin (Pasir Gudang), Datuk Syed Hamid Albar (Kota Tinggi), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh) dan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing) yang merupakan timbalan menteri kesihatan tiada sewaktu perbincangan tersebut. Turut tidak diundang, Menteri Pelancongan Datuk Azalina Othman Said dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad.Johor mempunyai 26 bahagian Umno - negeri yang paling banyak - diikuti Sabah (25), Perak (24) dan Selangor (22). Perak dan Selangor dirampas barisan pembangkang - PKR, PAS dan DAP - dalam pilihanraya umum lalu.
Manakala Barisan Nasional (BN) Johor pula kehilangan satu kerusi parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Ini langkah terbaik untuk menyelamatkan Umno daripada terus menjadi tidak menentu seperti sekarang ini kerana semakin banyak Abdullah bercakap, semakin banyak kekeliruan yang timbul," kata seorang ketua bahagian yang turut menghadiri perjumpaan tersebut."Jika keadaan telah reda, Abdullah boleh mengambil semula jawatan tersebut atau membuat keputusan memberikan terus (jawatannya) kepada Najib," katanya, yang enggan dikenali, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.Beliau berkata, penyokong akar umbi Umno di Johor sangat bimbang dengan kenyataan-kenyataan Abdullah sejak kebelakangan ini.Abdullah dijadual melawat Johor lusa dan mengadakan perjumpaan dengan badan perhubungan Umno negeri itu. Menurut ketua bahagian itu lagi, perdana menteri perlu mengambil tindakan tersebut sebelum pemilihan parti yang dijadual 16-20 Disember."Kita bimbang ada pemimpin Umno yang tidak sesuai bertanding mencabar Abdullah dalam pemilihan jawatan presiden parti."Dalam keadaan sekarang, tidak mustahil pemimpin berkenaan boleh menang dan jika (keadaan) ini berlaku sudah tentu sukar untuk memulihkan lagi Umno," katanya.Mengenai perjumpaan minggu lalu, ketua bahagian itu menambah, Abdul Ghani - juga ketua badan perhubungan Umno negeri - meminta semua yang hadir memberikan pandangan masing-masing mengenai kekalahan parti itu.Katanya, dua bahagian iaitu Batu Pahat dan Muar mencadangkan Umno mengadakan perhimpunan agung khas bagi membincangkan perkara tersebut.

Tiada ulasan: