Kawan-kawan setia

Khamis, 15 Mei 2008

26 pelancong Malaysia di Sichuan gagal dikesan

Oleh AMIZUL TUNIZAR TERMIZI
IPOH 14 Mei – Nasib 26 rakyat negara ini yang melancong ke Sichuan, China yang dilanda gempa bumi kelmarin masih belum diketahui. Kumpulan pelancong dari Perak itu melancong ke wilayah yang terletak di barat daya negara berkenaan menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan Golden Dragon Tour Sdn. Bhd. pada 9 Mei lalu.
Mengikut jadual lawatan, kumpulan itu yang membawa pelancong berusia antara 50 hingga 90 tahun sepatutnya pulang ke tanah air Jumaat ini.
Pengurus Jualan dan Pelancongan agensi yang berpejabat di Ipoh itu, Andy Kong berkata, sejak wilayah Sichuan dilanda gempa bumi, pihaknya gagal menghubungi pemandu pelancong yang mengetuai kumpulan itu dan juga pihak hotel di tempat mereka menginap.
Katanya, usaha itu tidak berhasil mungkin kerana talian telekomunikasi di kawasan Sichuan terputus akibat bencana tersebut.
“Setakat ini, pemandu pelancong juga tidak menghubungi pihak kami dan keluarga kumpulan pelancong terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut laporan akhbar, sehingga pukul 12 tengah malam tadi, iaitu selepas lebih 34 jam gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter itu berlaku, sekurang-kurangnya 12,000 mangsa terkorban.
Menurut Andy, semasa kejadian gempa bumi berlaku, kumpulan pelancong itu sepatutnya turun dari Jiuzhaigou iaitu sebuah kawasan pergunungan untuk makan tengah hari di Maoxian.
Katanya, kedua-dua tempat tersebut terletak di dalam wilayah Sichuan.
“Sekiranya kumpulan itu sempat pergi ke Maoxian, mereka mungkin selamat,” katanya.
Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Kunming, Ayauf Bachi berkata, sehingga kini nasib pelancong-pelancong Malaysia terbabit masih belum diketahui.
“Pihak berkuasa China telah menubuhkan satu pasukan khas awal pagi ini untuk mencari pelancong asing (yang dilaporkan hilang).
“Kami ketika ini menjalin kerjasama dengan mereka (pihak berkuasa China) bagi mengesan pelancong kita itu,” katanya kepada Bernama.

Tiada ulasan: