Kawan-kawan setia

Khamis, 8 Mei 2008

Kadar tol lebuh raya mungkin turun - TETAPI....

Mohd Zin 07-05-2008 04:58:42 PM
(MSTAR) KUALA LUMPUR: Kadar tol lebuh raya mungkin boleh diturunkan tetapi ia tertakluk kepada keputusan kajian konsesi lebuh raya yang sedang dijalankan Kementerian Kerja Raya.Menterinya, Datuk Mohd Zin Mohamed berkata kajian itu dijangka siap tiga bulan lagi dan ia menjadi asas rundingan semula perjanjian konsesi lebuh raya antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya di negara ini.Beliau berkata perkara utama yang akan dirunding semula ialah klausa mekanisme semakan semula tol yang tidak membenarkan pihak konsesi menaikkan kadar tol lebuh raya sesuka hati tetapi bergantung kepada jumlah kenderaan yang menggunakannya."Ini salah satu kemungkinan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen ketika ditanya adakah kajian konsesi lebuh raya itu boleh menyebabkan kadar tol lebuh raya diturunkan.Mohd Zin berkata kajian itu akan mengambil kira unjuran trafik, kadar tol dan tempoh konsesi yang akan dibandingkan dengan hasil kutipan dan kos yang ditanggung pihak konsesi seperti kos operasi dan penyelenggaraan.Katanya, kerajaan juga sedang berunding dengan syarikat Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) untuk mengasingkan PLUS kepada seksyen bandaran dan seksyen antara bandar."Berasaskan fakta itu kita boleh menilai unjuran trafik dan kadar tol," katanya.Bagi faedah pengguna jalan raya, Mohd Zin berkata jalan Persekutuan di 300 kawasan sering berlaku kemalangan akan dinaik taraf secara berperingkat di bawah kajian Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) sebagai laluan alternatif kepada jalan raya bertol.Terdahulu semasa persidangan Dewan Rakyat, Mohd Zin berkata kementerian juga akan melihat semula jumlah pembiayaan yang diperlukan bagi syarikat konsesi lebuh raya membayar balik pinjaman, menyelenggara dan menjalankan operasi. "Jumlah ini kemudian akan dibandingkan dengan harga kutipan tol dan ini dapat mengelakkan kenaikan kadar tol malah dapat memberikan pengurangan kadar tol," katanya ketika menjawab soalan Tony Pua Kiam Wee (DAP-Petaling Jaya Utara). Beliau berkata, dalam rundingan semula, faktor pampasan juga akan dilihat semula dan sebarang keputusan rundingan semula akan memastikan tidak menyebabkan kerajaan dan rakyat menanggung sebarang beban."Ini dapat mengurangkan kadar tol bagi seksyen bandaran dan seksyen antara bandaran tidak membebankan, namun keputusan kajian ini akan dikemukakan kepada jemaah menteri untuk kelulusan supaya masalah kenaikan kadar tol dapat dilihat semula dan rakyat tidak akan dibebankan," katanya.Mohd Zin berkata jumlah keseluruhan pendapatan dan keuntungan kumulatif bagi syarikat konsesi lebuh raya bertol yang sedang beroperasi di bawah pengawasan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga tahun lepas adalah RM27.6 bilion dan RM3.5 bilion.Beliau berkata pendapatan yang diperoleh oleh syarikat konsesi digunakan untuk pembayaran balik pinjaman, pembiayaan kos bagi kerja penyelenggaraan dan operasi kos penyelengaraan berat."Keuntungan yang diperoleh pula akan digunakan bagi mengimbangi pampasan akibat keputusan kerajaan tidak menaikkan kadar tol bagi lebuh raya berkenaan," katanya.Beliau berkata daripada 22 syarikat konsesi lebuh raya, tujuh daripadanya mengalami kerugian iaitu Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Lingkaran Kajang, Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL Barat, Lebuhraya Shah Alam-Kuang dan Lebuhraya Pantai Baru. BERNAMA

Tiada ulasan: