Kawan-kawan setia

Jumaat, 2 Mei 2008

Komen Al-Bakistani tentang isu Faizal Tahir

Cuti hari pekerja menyebabkan aku dijemput untuk menyampaikan kuliah subuh yang agak jauh dari biasa. apabila pulang, aku terus singgah dalam satu majlis, yang disitu aku berjumpa dengan bapa kepada Faizal Tahir, seorang penyanyi yang namanya sering disebut di dada akhar.Aku mengenali bapa kepada penyanyi Faizal Tahir sudah agak lama, mungkin dalam lingkungan empat tahun lebih. Aku menghormatinya sebagai orang yang berpendidikan tinggi, kerana beliau merupakan orang yang berpendidikan sehingga beliau mendapat gelaran Doktor PHD secara rasmi.
Dalam menghormati itu, aku tetap dengan sikapku, suka mengkritik beliau, sekiranya pandangan dan tindakan beliau tidak sealiran denganku. Padaku, Dr Tahir merupakan orang yang mempunyai pemikiran yang terbuka, maka dengan sebab itu, beliau mudah menerima kritikan dengan hati yang terbuka, disamping beliau mengambil sikap memaafkan sekiranya terdapat “kepedasan” dalam kritikan. Persahabatan kami tidak menyebabkan aku merasa janggal untuk mengkritik. Ditambahi pula, beliau mudah menerima kritikan, walaupun kadangkala dilihat seakan-akan merajuk dengan kritikan tersebut. Semasa kami berjumpa, beliau ada menceritakan tentang keadaan anaknya, Faizal tahir. Semasa beliau bercerita, aku tidak membaca lagi kenyataan Mufti Perlis yang termaktub dalam akhbar Metro. Beliau menyatakan seakan-akan menyalahkan diri sendiri, bahawa mungkin disebabkan beliau terlalu mengongkong perjalanan hidup anaknya di masa kecil, menyebabkan anaknya jadi begitu. Beliau bercerita lagi, kenyataan Mufti perlis itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada jiwanya sebagai ayah kepada Faizal. Apakan daya, beliau telah berusaha sedaya usahanya, tetapi acuan “kuih karipap” yang disediakan, “apam balik” jadinya. Sebagai ayah, sudah pasti kenyataan Mufti perlis memberi kesan kepada diri dan jiwanya. Aku bersimpati dengan beliau. Dia berkata, Faizal bukannya orang yang minat menyanyi, tetapi dia jadi demikian adalah kerana, beliau mempunyai masalah kewangan. Maka dengan kebolehan yang ada pada dirinya itu menyebabkan dia menggunakannya untuk mendapatkan hasil kewangan. Dari itu, aku merasa terpanggil untuk mencari berita tentang isu ini. Apabila pulang, aku terus buka internet. Apabila laman berita Metro terpampang, aku agak terkejut, gambar Faizal terpampang dimuka depan berita, disamping berita tersebut bersifat agak negatif terhadap dirinya.
KENYATAAN MUFTI ADALAH PATUT TAPI...... Membaca berita itu, padaku, tindakan Mufti Perlis adalah patut dipuji, tetapi ada sedikit kesilapan apabila beliau mengungkapkan nama Faizal Tahir secara jelas, menyebabkan sebilangan manusia berkecil hati. Tulisan ini bukan aku berniat hendak membela faizal, tetapi padaku, setiap insan itu perlu diperlakukan secara adil.
Firman Allah; اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى Maksudnya; ”Berlakulah adil, kerana ianya lebih hampir kepada taqwa” (Surah Al-Maidah : 8) Aku juga kadangkala tidak bersikap adil terhadap sasaran kritikan. Aku mengaku atas kelemahan itu. Dr Asri merupakan sasaran kritikanku yang sering aku luahkan dalam berbagai-bagai sesi tulisan. Aku mengkritik Dr asri bukan kerana jawatannya sebagai Mufti, tetapi aku amat tidak bersetuju, apabila beliau mengkritik Parti islam dengan tidak merujuk kepada realiti yang berlaku pada PAS dan strateginya. Tulisan beliau tentang siasah tanpa perinsip dan tuduhan beliau dalam satu wawancara dengan Berita Harian dengan mendakwa bahawa PAS dikuasai oleh Syiah tanpa merujuk kepada fakta tuduhan, merupakan tindakan yang melampau, yang sedikit sebanyak tulisan itu menyebabkan orang memandang sinis kepada perjuangan Islam yang telah diperjuangkan sejak sebelum merdeka lagi. Pun begitu, aku tetap memuji dan menokong Dr Asri dalam beberapa Isu. Aku menyokong beliau dalam isu memberi salam kepada non muslim, walaupun sokongan itu, aku tidak mengungkapnya dalam ruangan blog. Aku menyokong pendapat beliau dalam isu ”bin Abdillah”, pun begitu, aku mengharapkan beliau agar mendalami Fiqh Siyasah Syariiyyah dalam menyelesaikan isu ini di Malaysia. Dan kini, beliau telah menghantar surat kepada Pejabat Menteri Besar Perlis agar pihak penganjur Jomheboh 2008 menilai semula konsert yang diadakan di negeri itu.
Padaku, tindakan tersebut amat bagus dan wajib diberikan pujian. Pun begitu, adalah lebih cantik dan selesa, jika beliau tidak menyebut nama Faizal tahir secara jelas, bahkan hanya mencadangkan kepada pihak penganjur agar menyenaraikan ciri-ciri hiburan yang dibenarkan di negeri perlis, yang sudah pastinya ciri-ciri itu merujuk kepada Islam. HIBURAN TIDAK HARAM Berhibur bukan perkara yang diharamkan dalam islam, bahkan berhibur yang diharamkan adalah berhibur yang boleh melalaikan dari mengingati Allah dan boleh membawa kepada perkara haram.
Firman Allah; وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌ Maksudnya; ” Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan” (Surah Luqman : 6) Firman Allah ini menjelaskan kepada kita bahawa tegahan terhadap perkataan tidak berguna itu adalah perkataan yang boleh membawa manusia kepada kesesatan. Maka dengan itu, sekiranya perkataan itu tidak menyesatkan manusia, maka perbuatan itu adalah harus. Ini dikuatkan lagi, jika perlakuan baik yang dilakukan seperti membaca Al-Quran dan seumpamanya, tetapi dipenuhi dengan helah atau maksud yang melalaikan atau mencegah manusia dari mengingati Allah, atau membaca Al-Quran dengan tujuan menyesatkan manusia, perbuatan itu adalah perkara haram. Dengan isu inilah, tidak hairan kita akan dapati bahawa Omar bin Al-Khattab yang telah melarang orang Munafiq dari membaca Surah ”’Abasa” dalam solat jemaah, kerana tujuan mereka membacanya itu adalah hendak memburukkan nabi. (Al-Ghina Halal !! : m.s 10)
PENUTUP Padaku, tidak ada salahnya menjemput Faizal Tahir atau siapa sahaja menyanyi dalam majlis yang dianjurkan, tetapi jemputan itu hendaklah diberikan ”tazkiran awal” kepada penyanyi-penyanyi tentang bentuk nyanyian dan perlakuan yang dibenarkan. Kalau dulu Faizal tahir yang dilihat seperti ”pembawa pengaruh buruk” oleh sebilangan pihak, mengapa tidak dijadikan Perlis sebagai medan untuk dia membersihkan imejnya dengan ciri-ciri yang tidak bercanggah dengan islam.????? Jika manusia yang terlalu jahat pun, boleh diberi kemaafan oleh Allah SWT, inikan pula Faizal Tahir yang banyak kesempatan untuk dia merubah diri. Mengapa kita tidak memberi ruang kepada beliau dalam menentukan hala tuju masa depannya dengan baik dengan diberikan peringatan dan tazkiran kepadanya, bukan menghukumnya yang memungkinkan beliau bertambah jauh dengan Islam?????? Pada pandanganku, berlakulah adil kepada Faizal Tahir !!!!! Sekian

p/s : artikle ini bukan bersifat Ma’sum, tetapi sekadar pendapat dan terbuka untuk dikritik.
Al-Bakistanihttp://al-bakistani.blogspot.com/ abu_abdillah_azzam@yahoo.com

Tiada ulasan: