Kawan-kawan setia

Khamis, 15 Mei 2008

Korban Gempa di China

DUJIANGYAN – Jumlah korban gempa bumi yang paling buruk melanda China dalam tempoh beberapa dekad meningkat kepada 15,000 orang semalam.
Berpuluh-puluh ribu askar, anggota bomba dan sukarelawan dikerah mencari dan menyelamat lebih 25,000 mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di wilayah Sichuan.
Angka kematian rasmi kini meningkat kepada 14,866 orang selepas para anggota penyelamat mula mengangkat sisa-sisa runtuhan bangunan bersaiz besar.
Kerajaan China dilaporkan menghantar seramai 50,000 askar untuk membantu menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap selepas gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter itu mengakibatkan sekolah, kilang dan hospital runtuh.
Di daerah Mianzhu,seramai 500 mangsa yang terperangkap di dalam bangunan runtuh berjaya diselamatkan namun beribu-ribu lagi dikhuatiri mati.
Para penyelamat di perkampungan Hanwang memberi makanan dan minuman kepada seorang gadis selepas mereka menghadapi kesukaran mengeluarkan mangsa dari sisa runtuhan sebuah sekolah.
Seorang wanita yang hamil lapan bulan dan ibunya berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba selepas terperangkap di apartmen mereka di Dujiangyan.
Sementara itu, seramai 2,000 askar dihantar ke sebuah empangan di Dujiangyan yang mengalami keretakan serius.
Sebelum ini, para pengawai memberi amaran kemungkinan berlakunya banjir selepas keretakan di beberapa empangan dan sungai kini berada dalam keadaan bahaya.
Suruhanjaya Perubahan Pembangunan Kebangsaan China dalam laman webnya semalam melaporkan bahawa gempa bumi itu mengakibatkan 391 empangan mengalami kerosakan.
Dalam perkembangan berkaitan, firma penganalisis bencana AIR Worldwide berkata, kerugian akibat bencana alam itu kini dianggarkan sebanyak AS$20 bilion (RM64 bilion). – Agensi

Tiada ulasan: