Kawan-kawan setia

Sabtu, 3 Mei 2008

Lombok, pelajar dan cinta

Nama Lombok, Indonesia, semakin popular dewasa ini lantaran kepakaran warga jantannya melarikan anak-anak gadis, pelajar-pelajar Malaysia ke sana untuk dijadikan pasangan kekasih atau isteri. Selepas Nor Azreen yang masih berusia 12tahun, kini tiba giliran Nurul Wahida Hamzah, 20 dikenalpasti telah dilarikan dan dinikahkan di sana. Wakil Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat (Migrant Care), Alex Ong berkata pihaknya yakin akan membawa pulang Nurul Wahida kembali ke Malaysia. Menurut Alex, dua pegawai Migrant Care di Lombok sudah menemui Nurul Wahida di rumah mentua wanita itu di Dusun Menceh, Desa Gelanggang, Lombok Timur. Berdasarkan maklumat dari dua pegawai itu, Nurul Wahida diberitakan kelihatan terkejut apabila diberitahu kedatangan itu bertujuan membawa dia pulang ke Malaysia. Nurul Wahida di dapati dalam keadaan sihat, namun dia tidak menyangka akan dikunjungi pihak yang akan membawanya pulang ke Malaysia. Harian Metro pada 21 April lalu melaporkan Nurul Wahida yang menetap di Teluk Intan, Perak, dipercayai jatuh cinta dan akhirnya mengambil keputusan mengikuti buruh Indonesia yang dikenali sebagai M.Yusup, 40-an, ke Pulau Lombok sejak tahun 2005 lagi. Hasil perkahwinan dengan M.Yusup, mereka dikurniakan seorang anak, tetapi meninggal dunia kerana sakit. Ketika dihubungi sebelum itu, Nurul Wahida menyatakan rasa sangat menyesal terutama kepada ibunya Halimah Saad, 62, yang ditinggalkan uzur berseorangan di Teluk Intan. Walaupun kedatangannya ke Lombok mengikut lelaki itu atas dasar cinta, namun Nurul Wahida mendedahkan terpaksa melalui pelbagai onak duri sepanjang tiga tahun di Lombok dan pernah merayu pihak-pihak di Malaysia untuk membantunya pulang ke pangkuan keluarganya. Cuba banyangkan pembaca sekalian, hebatnya umpan cinta, dengan sebegitu mudah seorang gadis diperdaya dan dilarikan sehingga sanggup menempuh pelbagai rintangan demi jejaka yang dicintainya, walaupun pada akhirnya menyesal yang tak berkesudahan.
Sebelum itu kita juga pernah digemparkan oleh kehilangan Siti Nor Azreen seorang pelajar, yang juga dilarikan dan dinikahkan di Lombok. Juga atas dasar cinta, kanak-kanak sekolah rendah yang masih mentah, belum mengenal tendang terajang dunia, hanyut begitu mudah mengikuti jejaka yang menjanjikan bulan dan bintang kepadanya. Berbagai usaha mencari dilakukan yang akhirnya berjaya dikesan dan dibawa pulang ke Malaysia. Rombongan Malaysia telah berjaya mencantumkan semula kasih antara seorang ayah Che Ishak dan anaknya Che Siti Nor Azreen bila berjaya menemuinya di Pusat Perlindungan Anak Nusa Tenggara Barat di Bandar Mataram, Lombok. Rombongan yang disertai bersama ayah Azreen itu menjadikan pertemuan mereka seolah-olah pertemuan air mata, namun yang pentingnya dapat membawa kepada penyatuan semula keluarga yang menetap di Ladang Ulu Sawah, Rantau, Negeri Sembilan ini.
Lombok oh Lombok berapai ramai lagi anak gadis kita yang telah dilarikan dan yang berpotensi dilarikan. Umpannya mudah sahaja, yakinkan cinta kepada anak gadis kita maka lautan api akan sanggup diseberangi oleh mereka. Bayangkan betapa sukarnya seorang individu untuk keluar dari negara ini yang mempunyai sistem keselamatan yang terbaik, namun kerana cinta dapat diharungi dengan mudah. Jika kita koreksi situasi sedikit, cuba teliti, dalam hal ini siapa yang gagal memikul tanggung jawab?, ibubapa mereka kah, sistem pendidikan kah, kerajaan kah, individu tersebut kah, masyarakat kah, atau semua sekali. Namun peranan media jangan pandang enteng sebagai agen yang berpengaruh ke atas minda sesorang individu lebih-lebih lagi remaja yang masih mencari tapak kehidupan dan sokongan. Tayangan berterusan media terhadap keindahan cinta remaja di TV, membuai perasaan setiap remaja dan jika tidak dipantau oleh iman dan moral maka inilah hasilnya. Dari itu sama-samalah kita menjaga dan mentarbiah anak-anak gadis kita supaya mangambil iktibar dengan apa yang berlaku kepada mereka sebelum ini.

Tiada ulasan: