Kawan-kawan setia

Khamis, 8 Mei 2008

Parlimen BOCOR lagi

KUALA LUMPUR - Bocor lagi! Ketika Dewan Rakyat sedang rancak bersidang kira-kira pukul 4.30 petang semalam, mereka yang sedang khusyuk menonton televisyen di lobi dikejutkan dengan kebocoran bumbung Parlimen. Kebocoran itu berlaku betul-betul berhampiran dengan pintu masuk dewan yang menjadi laluan utama ke lobi dan terletak hanya kira-kira 20 meter dari bilik Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Meskipun hujan lebat baru turun tidak sampai 15 minit, air dilihat mula menitik sedikit demi sedikit daripada saluran pendingin hawa pada siling berkenaan hingga menyebabkan lantai di situ dilimpahi air. Kejadian memalukan ini merupakan yang ketiga sejak tahun lalu apabila kejadian pertama berlaku di bahagian bumbung Dewan Persidangan Dewan Rakyat manakala kejadian kedua di kawasan Bilik Media. Cubaan Unit Selenggaraan Parlimen Malaysia menyembunyikan keadaan itu tidak berhasil kerana ia sudah dapat dihidu oleh pihak media yang sempat merakam awal kejadian itu.
Selepas sejam kejadian berlaku, Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed tiba untuk meninjau dan seterusnya bersama-sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir. N. Selvanayagam naik ke bumbung bangunan Parlimen untuk melihat keadaan sebenar.
"Kita telah melawat sistem kalis air yang dipasang di atas (bumbung), memang pasti tiada kebocoran berlaku di bahagian atas bumbung.
"Apa yang berlaku, apabila hujan lebat, air turun dengan deras menerusi paip saluran hujan dan berlaku back flow (limpahan) kerana salurannya begitu kecil dan menerusi sudut-sudut pada paip berkenaan yang sudah berusia 45 tahun itu, air melimpah ke atas siling dan jatuh mencurah menerusi saluran pendingin hawa,'' jelas Mohd. Zin kepada pemberita di lobi Parlimen petang semalam. Justeru, Mohd. Zin memberitahu, kerja-kerja membaik pulih sistem mekanikal dan elektrikal secara besar-besaran di bangunan Parlimen sudah dirancang pada Jun depan, kali pertama sejak 45 tahun lalu.

Tiada ulasan: