Kawan-kawan setia

Isnin, 19 Mei 2008

Petisyen pilihan raya Terengganu dibicara hujung bulan ini

Utusan Malaysia: KUALA TERENGGANU 18 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan hujung bulan ini dan bulan depan sebagai tarikh mula perbicaraan bagi tiga petisyen berhubung salah laku penyokong dan aktivis Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang difailkan di Terengganu bulan lalu. Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Kang Hwee Gee membuat keputusan itu bagi kes petisyen yang difailkan oleh UMNO Terengganu untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang. Keputusan tersebut dibuat berdasarkan pengurusan kes hari ini.
Perbicaraan bagi petisyen untuk kerusi DUN Manir ditetapkan pada 25 hingga 27 Mei ini manakala perbicaraan petisyen bagi Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang akan dilakukan secara bersama pada 9 hingga 12 Jun serta 16 hingga 19 Jun ini. Petisyen untuk kerusi DUN Manir difailkan oleh bekas calon UMNO, Wan Sagar Wan Embong manakala petisyen untuk Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang juga difailkan oleh bekas calon parti itu, Datuk Ahmad Ramzi Mohamad Zubir dan Razali Idris pada 28 April lalu.
Melalui petisyen itu, mereka meminta sesuatu dilakukan terhadap salah laku para penyokong dan aktivis Pas pada pilihan raya umum lalu yang antaranya menghalang pengundi membuang undi, merampas kad pengenalan pengundi dan menakutkan pengundi daripada keluar mengundi.
Wan Sagar menamakan ADUN kawasan itu, Datuk Harun Taib sebagai defendan pertama manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pegawai pengurusan pilihan raya bagi Parlimen Hulu Terengganu, Rozali Salleh sebagai defendan kedua dan ketiga. MemohonAhmad Ramzi dan Razali pula menamakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga wakil rakyat kedua-dua kawasan itu sebagai defendan pertama manakala SPR dan pegawai pengurusan pilihan raya Parlimen Marang, Rahman Che Ali sebagai defendan kedua dan ketiga.
Ketiga-tiga mereka diwakili sekumpulan empat orang peguam yang diketuai Ahmad Firoz sementara defendan pertama bagi ketiga-tiga petisyen itu diwakili oleh Aziz & Co. manakala defendan kedua dan ketiga bagi ketiga-tiga petisyen itu diwakili Iznan Ishak dan Hairul Fazly.
Iznan sebelum itu memohon kepada mahkamah supaya anak guamnya dikeluarkan daripada senarai defendan bagi ketiga-tiga petisyen berkenaan atas alasan kes itu lebih menjurus kepada defendan pertama.
Hakim mengarahkan beliau supaya memfailkan notis bantahan awal berhubung perkara itu kepada mahkamah yang kemudiannya dilakukan oleh peguam berkenaan hari ini juga. Dalam pada itu, Hwee Gee menegur Ahmad Firoz kerana mengambil banyak kes petisyen pilihan raya sehingga mahkamah mengalami kesulitan untuk menentukan tarikh perbicaraan ketiga-tiga petisyen berkenaan dan meminta peguam itu memutuskan sama ada mengendalikan sendiri atau menyerahkan perkara itu kepada peguam lain. Ahmad Firoz memberitahu mahkamah bahawa ada hari tertentu yang ditetapkan itu bertembung dengan tarikh perbicaraan petisyen pilihan raya di Perlis yang perlu dikendalikannya. Peguam tersebut sebelum itu memohon mahkamah supaya menetapkan tiga hari untuk perbicaraan bagi petisyen-petisyen berkenaan kerana pihaknya akan memanggil kira-kira 10 saksi untuk memberi keterangan.

Tiada ulasan: