Kawan-kawan setia

Sabtu, 17 Mei 2008

SIASATAN TERHADAP 6 INDIVIDU DALAM KES VIDEO VK LINGGAM

Enam nama disebut suruhanjaya dikait dengan klip video LingamPUTRAJAYA: Kabinet semalam mengarahkan Peguam Negara memulakan siasatan serta-merta berhubung segala tuduhan terhadap individu yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat klip video mengandungi perbualan seorang peguam dengan hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim. Mereka ialah peguam Datuk VK Lingam; bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; tokoh korporat, Tan Sri Vincent Tan; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin; serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, berkata keputusan Kabinet itu sejajar laporan Suruhanjaya Diraja bahawa rakaman klip video berkenaan adalah sahih dan mengesyorkan supaya tindakan sesuai diambil terhadap individu yang dikenal pasti melakukan kesalahan tertentu. "Jemaah Menteri meminta dan menyeru kepada masyarakat umum termasuk media supaya membiarkan proses siasatan berjalan secara biasa tanpa tekanan atau pun sebarang prejudis terhadap mana-mana individu yang disebutkan dalam laporan itu. "Perlu diingat bahawa dalam sistem perundangan kita, seseorang yang dituduh atau dikaitkan dengan sesuatu kesalahan adalah tidak bersalah sehingga mahkamah memutuskan perkara terbabit," katanya membaca kenyataan pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam
Mesyuarat Jemaah Menteri semalam turut memutuskan laporan itu diumum dan dijual kepada orang ramai. Laporan Suruhanjaya Diraja itu yang membabitkan naskhah utama berharga RM161.40; nota prosiding (RM123); deklarasi statutori (RM120); dan bukti (RM136.90) boleh dibeli di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, mulai Isnin ini. Laporan muka depan akhbar ini semalam menyebut, suruhanjaya itu mendapati Tengku Adnan dan Tan secara langsung mempengaruhi pelantikan serta kenaikan pangkat hakim selain meragui keterangan mereka berdua dalam inkuiri yang dijalankan. Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan mencadangkan beberapa individu yang memberi keterangan dalam inkuiri berkenaan disiasat mengikut Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan Kanun Keseksaan manakala Lingam turut disiasat kerana salah laku mengikut Akta Profesion Guaman.
Mengenai bentuk kesalahan yang dikaitkan dengan individu berkenaan, Zaid berkata laporan Suruhanjaya Diraja itu menyatakan kesalahan terbabit antara lain adalah berkaitan Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan menghalang keadilan. "Ini adalah isu yang Peguam Negara perlu siasat. Anda perlu ingat bahawa laporan atau cadangan (yang dibuat suruhanjaya itu) adalah berbentuk nasihat dan perlu diadakan satu siasatan lain," katanya. Ditanya apakah ini bermakna individu berkenaan disabitkan dengan tuduhan berkenaan, Zaid berkata: "Tidak, tidak, tidak... saya tidak mahu menyatakan disabitkan, sebaliknya saya katakan bahawa ini adalah dapatan suruhanjaya itu." Zaid berkata, kerajaan serius dalam mengembalikan kedaulatan undang-undang dan keyakinan terhadap badan kehakiman negara dengan memastikan proses pelantikan hakim dan pegawai kehakiman dilakukan secara telus untuk mengatasi kelemahan lalu. Ditanya jika laporan Suruhanjaya Diraja itu ada menyebut bahawa sistem kehakiman negara tidak telus, Zaid berkata: "Saya tidak mahu menambah apa lagi, saya hanya diarah menjelaskan kepada anda semua dan anda perlu membaca laporan itu dulu". Sementara itu, analisis akhir laporan setebal 186 halaman hasil inkuiri selama 17 hari yang berakhir 15 Februari lalu menyatakan: "... kami berpendapat bahawa dapat dipercayai wujud perbuatan khianat oleh Datuk VK Lingam, dengan bantuan tersembunyi rakannya, Tan Sri Vincent Tan dan Datuk Seri Tengku Adnan untuk membabitkan diri mereka secara aktif dalam pelantikan hakim, khususnya Tun Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara dan seterusnya Presiden Mahkamah Rayuan. Dalam proses itu, Tun Dr Mahathir Mohamad turut dikaitkan..." Zaid berkata, Jemaah Menteri juga mengambil kira cadangan yang dikemukakan suruhanjaya itu untuk memperbaiki proses pelantikan hakim supaya lebih telus dan menepati kehendak Perlembagaan sekali gus meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap institusi kehakiman. "Dalam hal ini, kerajaan sedang menggubal undang-undang untuk penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan berhasrat mengiktiraf kuasa mahkamah seperti yang disarankan oleh suruhanjaya itu," katanya

Tiada ulasan: