Kawan-kawan setia

Selasa, 6 Mei 2008

Taufan Nargis landa Myanmar, 10,000 dikhuatiri maut

BANGKOK 5 Mei – Pihak berkuasa Myanmar melaporkan lebih 10,000 orang terbunuh akibat Taufan Nargis yang melanda negara itu semalam. Radio milik kerajaan melaporkan lebih 10,000 orang penduduk termasuk di kawasan luar bandar seperti di kawasan Bogalay dan Labutta dalam wilayah Ayeyawaddy mungkin terbunuh dalam kejadian itu. Kerajaan Myanmar juga telah membenarkan pegawai-pegawai Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) untuk menghantar bantuan kecemasan kepada mangsa taufan tersebut, yang dikatakan antara paling buruk pernah melanda negara itu. Beratus-ratus ribu penduduk lagi hilang tempat tinggal dan kini terpaksa ditempatkan di kuil-kuil di seluruh negara itu.
Agensi-agensi bantuan kemanusiaan mula menghantar bekalan makanan dan minuman kepada beribu-ribu mangsa yang terjejas akibat taufan tersebut. Sekurang-kurangnya 351 terbunuh ketika taufan itu melanda semalam selepas membadai kawasan barat daya Myanmar Sabtu lepas dengan angin selaju 190 kilometer sejam. Bencana itu turut menyebabkan beribu-ribu bangunan ranap, ratusan ribu penduduk hilang tempat tinggal dan bekalan elektrik dan air bersih terputus, lapor media kerajaan. Beberapa perkampungan tepi laut turut musnah, menurut jurucakap Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC), Michael Annear hari ini.
Kampung-kampung di Delta Ayeyawaddy (Irrawaddy) musnah teruk dilanda taufan yang tiba dari arah Teluk Bengal itu yang turut diikuti ombak besar sebelum melanda bandar utama, Yangon. Media kerajaan melaporkan, di pulau Haing Gyi sahaja, hampir 98,000 penduduk hilang tempat tinggal. Annear berkata, pasukan bantuan di Myanmar sedang mengagihkan bekalan kecemasan dan akan membawa masuk keperluan tambahan dari Malaysia secepat mungkin. “Kami mengedarkan bekalan untuk mangsa yang memerlukan tempat berlindung, bumbung plastik dan pil pembersih air.
“Kami sedang berusaha mendapatkan 5,000 liter air, peralatan memasak, kelambu, selimut dan pakaian untuk mereka yang memerlukannya,” kata beliau. Annear berkata, pasukannya bergerak cepat memberikan bantuan tetapi mengalami masalah pergerakan kerana jalan dirintangi oleh runtuhan bangunan dan pokok-pokok serta tiang elektrik yang tumbang. Pasukan Palang Merah Antarabangsa akan bekerjasama dengan Palang Merah Myanmar yang mempunyai lebih 1,000 pekerja terlatih.
Agensi-agensi PBB dan badan kebajikan antarabangsa juga bermesyuarat di ibu pejabat PBB di sini lewat hari ini untuk menyelaraskan bantuan kepada mangsa bencana taufan tersebut. Sementara itu, WFP menyatakan taufan itu dan banjir yang berlaku telah memusnahkan dua kawasan jelapang padi utama di negara itu menyebabkan eksport bekalan beras dari Myanmar terjejas. Menurut jurucakap WFP, Paul Risley, kini tidak dapat dipastikan sama ada Myanmar dapat memenuhi komitmennya untuk membekalkan ribuan tan beras kepada Sri Lanka dan Bangladesh.

1 ulasan:

perhati.pantau berkata...

Rasanya, lebih baik bencana ni menimpa USA....kerana dia selalu memberi bencana kpd negara lain...