Kawan-kawan setia

Rabu, 11 Jun 2008

Air percuma: Syabas setuju, Selangor tanggung RM11 juta sebulan

SHAH ALAM: Isu kerajaan negeri Selangor mahu memberikan air percuma selesai hari ini dengan lebih sejuta pengguna negeri itu akan menikmati bekalan air 20 meter padu seperti yang dijanjikan bermula 1 Jun lalu.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkannya hari ini selepas perbincangan beliau bersama Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) iaitu anak syarikat kerajaan negeri dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).
Kata Khalid, KDEB akan membelanjakan anggaran kira-kira RM11 juta sebulan bagi melaksanakannya.
"Pengguna domestik yang menggunakan meter individu di Selangor akan mendapat bil baru dengan rebet air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan bermula hari Isnin depan iaitu 16 Jun 2008," katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata, pengguna yang telah menerima bil sebelum 16 Jun akan menerima rebet 15 hari pertama bulan Jun dalam dalam bil bulan Julai.
Jelas beliau, kos pembayaran 20 meter padu yang diberikan secara percuma kepada rakyat Selangor itu akan dibiayai oleh KDEB.
Mengulas mengenai penolakan Syabas sebelum ini terhadap permintaan kerajaan negeri yang dibuat melalui KDEB, Khalid berkata perkara itu timbul kerana Syabas mahukan pelan pelaksanaan yang jelas bagi membolehkan mereka berbuat demikian.
"Hasil perbincangan hari ini, Syabas bersetuju dan menerima pelan pelaksaan yang kita cadangkan agar membolehkan mereka memberi rebet air kepada pengguna di Selangor," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan ketika ditemui berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan yang dikemukan KDEB.
"KDEB telah memberi akujanji untuk membayar bagi pihak kerajaan negeri untuk pengguna domestik yang mempunyai meter individu sahaja," katanya.
Ruslan berkata, KDEB akan membuat bayaran kepada Syabas dalam masa 30 hari selepas Syabas mengemukankan bil bulanan.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan akan timbul masalah pengguna tidak menerima potongan melalui bil yang diterima seperti yang dijanjikan.
"Bulan pertama mungkin ada masalah. Mungkin ada yang dapat potongan dan mungkin tidak. Tapi kita akan cuba atasi masalah tersebut secepat mungkin," katanya lagi.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Presiden KDEB, Dato' Abdul Karim Munisar.

Tiada ulasan: