Kawan-kawan setia

Khamis, 19 Jun 2008

Ella dan Mas Idayu boleh buat persembahan

18-06-2008 07:10:44 PM
SHAH ALAM: Persembahan yang melibatkan dua artis iaitu ratu rock Ella dan penyanyi dangdut Mas Idayu sempena perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor tetap diteruskan dengan jaminan bahawa kedua-dua artis itu akan menampilkan persembahan serta pakaian yang sopan. Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Datuk Abdul Karim Munisar berkata kedua-dua artis berkenaan akan membuat penampilan yang bersesuaian dan persembahan yang menjaga sensitiviti semua pihak. KDEB ialah penganjur kejohanan tahunan tersebut. "Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah di dalam akhbar, Rabu dan kenyataan baginda jelas berhubung isu berkenaan. Perlawanan akan berjalan seperti dirancangkan begitu juga persembahan artis yang terbabit," katanya pada sidang akhbar, di sini, Rabu.
Akhbar The Star hari ini melaporkan bahawa baginda akan membatalkan perlawanan tersebut antara Selangor dengan Singapura, sekiranya Pemuda Pas Selangor terus membantah persembahan keduadua artis berkenaan pada kejohanan itu. Dewan Pemuda Pas Selangor pada Isnin lepas menghantar memorandum kepada pejabat Menteri Besar Selangor bagi membantah rancangan untuk membawa Ella dan Mas Idayu membuat persembahan di perlawanan tersebut pada 6 Julai ini.
Mereka berkata persembahan kedua-dua penyanyi itu tidak sesuai kerana ramai golongan belia yang akan menyaksikannya. Mereka mengancam akan membuat tunjuk perasaan di Stadium Shah Alam, venue perlawanan berkenaan, sekiranya Ella dan Mas Idayu dibenarkan membuat persembahan. Sultan Sharafuddin sebaliknya menyifatkan bantahan itu sebagai bersifat hipokrit dan remeh. Semalam baginda bertitah, kedua-dua penyanyi itu dipilih kerana mereka merupakan penghibur yang baik dan mampu menghiburkan orang ramai sebelum perlawanan bermula. Penyanyi lain yang akan membuat persembahan ialah David Arumugam dari kumpulan Alleycats. Abdul Karim berkata sehingga hari ini, sebanyak 30,000 keping tiket telah dijual dan dijangkakan kira-kira 70,000 penonton akan membanjiri Stadium Shah Alam. Selain pasukan pilihan, yang akan turut beraksi ialah pasukan veteran Selangor dan Singapura. Beliau berkata tiket perlawanan berharga RM5 boleh didapati di beberapa lokasi seperti Hotel Quality Shah Alam, Hotel Quality Kuala Lumpur, Hotel Concorde Shah Alam dan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur atau boleh dibeli pada hari perlawanan di kaunter stadium.
Terdahulu Abdul Karim menyampaikan 10,000 keping tiket perlawanan percuma kepada semua sekolah di Selangor bagi memberi peluang kepada para pelajar yang terpilih untuk menonton perlawanan edisi ketujuh itu. Piala Sultan Selangor diilhamkan oleh Sultan Sharafuddin bagi mengeratkan hubungan antara Selangor dan Singapura melalui bola sepak. Perlawanan bola sepak antara kedua-dua pihak bermula sejak sebelum Perang Dunia Kedua. BERNAMA

1 ulasan:

dolahkayu berkata...

itulah tandanya manusia akhir zaman, memberi kedudukan istimewa pada golongan artis dan memandang hina orang yang mempertahankan prinsip agama Islam. Dari mana mereka belajar untuk mempertahankan ratu rock dan ratu gelek sebagai keutamaan program rakyat ? apakah benar non-muslim minat sangat menonton persembahan ratu rock da gelek melayu, atau hanya sekadar menambahkan lagi derita penyakit sosial anak melayu??