Kawan-kawan setia

Rabu, 4 Jun 2008

Inikah Salah satu Tujuan Ezam masuk UMNO?- Dedah kepincangan DS Anwar

Laporan Sinar Harian 02 Jun 2008, KUALA LUMPUR - Mohamad Ezam Mohd Noor membuat keputusan akan menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim jika berlaku pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen pada masa terdekat, sekiranya diberi peluang. Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang yakin permohonannya memasuki UMNO akan mendapat restu pemimpin Majlis Tertinggi (MT) parti, bersedia mendedahkan segala kepincangan politik Anwar demi memastikan perubahan dapat dilakukan dan kebenaran akan terserlah. “Kebenaran adalah pendorong saya untuk terus berjuang. Saya tidak kisah jika orang yang saya tanding itu Anwar Ibrahim,” katanya pada pertemuan dengan Sinar Harian, semalam. Menurutnya, beliau sanggup menentang bekas Timbalan Perdana Menteri itu demi membawa perubahan, manfaat serta kebaikan kepada UMNO, Ezam yang pernah menjadi Setiausaha Politik ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan berkata, menang atau kalah pada pilihan raya berkenaan menjadi perkara nombor dua. “Saya tidak kisah jika kalah dalam pertandingan itu kelak kerana kemenangan bukan suatu yang mutlak bagi diri saya. Sebaliknya apa yang saya perjuangkan ialah kebenaran, bukan hanya untuk menang sahaja,” katanya mengulas peluang pilihan raya kecil itu. Ezam, 41, yang pernah memegang jawatan Timbalan Pengerusi Keadilan Selangor turut meluahkan rasa kecewa dan kecil hati kepada kepimpinan Anwar yang dianggapnya tidak boleh bertindak sebagai seorang pemimpin sebenar. Kata Ezam, Anwar juga tidak pernah memujuknya untuk menyertai parti itu sejak beliau meninggalkan PKR dua tahun lalu. “Saya tidak kesal meninggalkan PKR walaupun saya adalah antara orang yang paling setia berjuang bagi membebaskan Anwar dari penjara,” katanya. Tambah Ezam, beliau berani untuk menandingi Anwar kerana kepercayaannya kepada Penasihat PKR itu sudah hilang. Mengenai desas-desus bahawa beliau akan bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda, Ezam menjelaskan perkara itu tidak pernah terlintas di fikirannya. “Ketika saya buat keputusan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan hasrat untuk kembali kepada UMNO, tidak ada sebarang rundingan atau perbincangan mengenai isu jawatan atau kedudukan saya dalam parti. “Seperti yang pernah saya jelaskan, saya masuk UMNO kerana tertarik dengan dasar yang dibawa oleh Abdullah sejak kebelakangan ini untuk memerangi rasuah secara besar-besaran. “Keterbukaannya itu yang menarik minat saya untuk menyertai UMNO dan ia berbeza dengan pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini yang menolak kepada perubahan,” katanya. Menurut Ezam, beliau juga bersedia untuk menjawab lebih daripada tiga soalan yang dikemukakan Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung mengapa beliau boleh diterima menyertai UMNO. Pada masa yang sama katanya, beliau juga ingin mengajukan beberapa soalan kepada Hishammuddin. “Saya tetap menyerahkan segalanya kepada keputusan MT untuk meluluskan permohonan menyertai UMNO. Saya akan terima apa sahaja keputusan,” katanya.

Tiada ulasan: