Kawan-kawan setia

Ahad, 15 Jun 2008

Nasihat pakar tentang Alat penjimat minyak: Pengguna dinasihat kaji sebelum guna

Petikan mStar 14-06-2008 03:34:27 PM
KUALA LUMPUR: Pengguna dinasihat lebih peka dan bijak ketika mahu membeli alat yang didakwa mampu menjimatkan petrol bagi mengelak daripada tertipu dan rugi kerana membeli produk yang tidak berkesan. Pengarah Pusat Pembangunan Automotif Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Ir. Dr .Azhar Abdul Aziz berkata ini kerana setakat ini kebanyakan alat penjimat petrol yang berada di pasaran tidak menunjukkan penjimatan yang ketara, selain memerlukan jangka masa yang panjang untuk mendapat pulangan pelaburan. "Selaku pengguna mereka patut bertanya pada penjual berhubung bukti saintifik dan kesahihan sesuatu dakwaan sebelum membeli peralatan dan bahan kimia ini. Bukti saintifik yang saya maksudkan ialah carta gayalaku (prestasi) yang menunjukkan kelebihan pemasangan alat dengan keadaan tanpa alat itu dipasang," katanya. Tambahnya, penjual kadangkala menunjukkan data yang dikumpul di luar negara dan ini tidak sama keadaannya dengan kegunaan di negara tropika seperti Malaysia.
Sepatutnya mereka yang menjual alat sedemikian lebih bertanggungjawab dengan melakukan beberapa siri ujian prestasi alat mereka dalam suasana penggunaan di Malaysia dan ujian itu pula semestinya dalam satu julat waktu yang lama, katanya. "Pendek kata pengguna harus lebih bijak dalam mengajukan soalan yang bersifat prestasi dan kelasakan sebelum berpuas hati dan terpikat dengan peralatan ini. Mereka perlu menekankan kepada jaminan di samping perkara pokok tadi. Jika boleh pengguna perlu diberi masa untuk menilai prestasi alat yang mereka beli sebelum komited dengan barangan ini," katanya.
Mengakui sejak mengkaji dan menguji peralatan dan bahan kimia yang disifatkan mampu menjimatkan bahan api kenderaan, lima tahun kebelakangan ini, beliau telah menemui pelbagai alat penjimat minyak yang ada di pasaran kini. Bagaimanapun katanya kebanyakannya hanya boleh menjimatkan bahan api bagi enjin yang tertentu, pada julat halaju tertentu enjin dan kadar penjimatannya adalah tidak tinggi, iaitu dalam lingkungan antara tiga dan lima peratus sahaja.
Antara produk tersebut termasuk dalam bentuk magnet yang dikatakan boleh mengubah struktur molekul bahan api untuk pembakaran yang lengkap, ada yang dipasang pada bahagian "air intake" enjin yang dikatakan boleh meningkatkan kecekapan pembakaran udara bahan api dan ada yang dipasang pada sistem penyalaan enjin yang boleh meningkatkan keamatan arka pada palam pencucuh enjin, katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kajian, hanya sebahagian kecil alat penjimat minyak yang berada di pasaran menyakinkannya dalam erti kata baloi berbelanja, antara lain bermaksud melebihi penjimatan lima peratus dalam semua keadaan operasi enjin. Justeru nasihatnya, pengguna hanya digalak membeli alat penjimat minyak yang benar-benar telah menjalani ujian bukti secara saintifik (yang dibuat oleh organisasi piawaian seperti SIRIM, SISIR dan sebagainya) dan diuji secara "exhaustive" dalam suasana atau persekitaran di Malaysia.
Dalam masa sama beliau turut mengingatkan pengguna bahawa peralatan berkenaan mempunyai jangka hayat yang tertentu, selain penggunaannya juga tidak dijamin pembuat enjin disebabkan ia bukannya produk OEM (produk peralatan tulen pengeluar). Dalam pada itu, Dr Azhar turut memberikan beberapa tip berguna mengenai cara lebih mudah, murah dan efektif untuk meminimumkan penggunaan petrol, termasuk mencadangkan amalan pemanduan yang baik seperti tidak memandu secara agresif dan melampaui 110 km per jam bersamaan halaju enjin.

Tiada ulasan: