Kawan-kawan setia

Khamis, 19 Jun 2008

Soal hukum agama boleh guna fikiran?, anih

Bercakap biarlah guna buah fikiran”-Mas Idayu
JIKA sebelum ini artis yang terkenal dengan jolokan Superman Malaysia, Faizal Tahir pernah dilarang daripada mengadakan persembahan di Perlis, kali ini giliran Ratu Rock, Ella dan Ratu Dangdut, Mas Idayu pula yang menerima nasib yang sama apabila mereka dihalang membuat persembahan di kejohanan bola sepak Piala Sultan Selangor sempena 100 hari Pakatan Rakyat di Stadium Shah Alam, Selangor yang akan berlangsung pada 6 Julai 2008 ini. Pembatalan konsert tersebut pastinya mengejut ramai pihak, sementelah lagi persembahan hiburan dalam setiap majlis adalah perkara biasa dan sudah menjadi satu kelaziman di negara ini. Malah tidak mustahil tempiasnya pasti dirasai oleh artis tempatan yang lain. Mas Idayu yang dihubungi semalam meluahkan rasa terkejut dengan berita tersebut kerana dia sendiri tidak tahu-menahu tentang konsert anjuran Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang melibatkan dirinya itu. "Saya tak tahu tentang konsert itu kerana saya tak pernah dimaklumkan oleh pengurus saya. Soal saya tak dibenarkan mengadakan konsert itu, saya tak nak komen apa-apa sehinggalah pihak penganjur memberi maklum balas tentang perkara ini terlebih dahulu. "Tetapi saya ada berbincang dengan pengurus saya yang dia akan selesaikan masalah ini dengan pihak penganjur. Apa yang saya tahu, sehingga kini nama saya masih belum ‘confirm’ dalam konsert ini. Pada saya, siapa yang timbulkan isu ini dialah yang kena bertanggungjawab dan saya tak boleh nak beri komen lebih-lebih," katanya. Pun begitu penyanyi yang popular dengan lagu ‘Cinta seratus persen’ turut meluahkan rasa kecewa dengan bantahan yang dilakukan oleh Dewan Pemuda Pas Selangor yang mendesak kerajaan negeri agar membatalkan konsert tersebut dengan alasan ianya satu pembaziran dan akan mengundang gejala sosial serta risiko moral. "Pada saya setiap persembahan, baik dangdut, rock, jazz atau apa sahaja jenis muzik tidak ada kena-mengena dengan gejala sosial. Pokok pangkalnya ia berpunca dari diri individu itu sendiri. Kalau setiap persembahan atau konsert disekat, apakah pihak itu mampu menghentikan semua gejala sosial yang ada? "Saya kecewa bagaimana sesetengah pihak boleh meletakkan anggapan seperti ini terhadap artis seperti kami sedangkan kami tidak pernah menggalakkan orang buat maksiat, hisap dadah atau gejala sosial yang lain. Sedar atau tidak, sebenarnya kami artis-artis inilah sering membantu kerajaan berkempen, mengajak belia benci dadah serta membantu orang ramai yang dalam kesusahan. "Saya harap pihak yang mahu bercakap itu, gunalah buah fikiran terlebih dahulu dan jangan bercakap sesuka hati kerana ia seolah-olah merendahkan imej kami. Ada atau tidak persembahan itu, gejala sosial tetap akan berlaku jika tidak ada kesedaran dalam diri individu itu sendiri," jelas Mas Idayu yang telah berkecimpung dalam industri seni suara hampir 15 tahun. Mas Idayu juga menolak dakwaan yang konsert tersebut kononnya mengundang satu pembaziran kerana baginya, apa sahaja yang dilakukan oleh masyarakat pastinya sedikit sebanyak akan menjana ekonomi negara. "Saya tidak faham apa yang dimaksudkan dengan pembaziran itu. Pada saya, konsert itu ada atau tidak, orang akan tetap teruskan aktiviti harian mereka. Kalau ada pun konsert itu, saya percaya yang ekonomi negara tidak akan terjejas pun, lagipun bukannya kami dapat bayaran berjuta-juta pun untuk setiap persembahan," katanya. Biarpun kecewa dengan isu tersebut, bintang dangdut ini percaya dengan rezeki yang ditetapkan Tuhan untuknya. Namun dia berharap agar segala tanggapan negatif terhadap artis sepertinya dapat disingkirkan. "Saya percaya orang ramai boleh berfikir yang mana betul dan yang mana salah. Sepanjang saya berkecimpung dalam industri ini saya tak pernah terlibat dengan kontroversi yang buruk. Jadi tidak adil sekiranya saya diheret dalam situasi ini," jelasnya. Sementara itu, Ratu Rock negara, Ella, gagal dihubungi bagi mendapatkan kenyataan balasnya tentang perkara tersebut

1 ulasan:

dolahkayu berkata...

apakah memperagakan tubuh, mengalunkan suara yang memikat dan beraksi dengan mendedahkan aurat di atas pentas itu HALAL mengikut Islam Hadhari ? harap ulama Islam Hadhari bolah berikan dalil yang kuat dan sahih dari Al-Quran dan Sunnah. Mufti Selangor sendiri wajib menjelaskan hukum yang sepatutnya.. muafti jangan cuba menyorokkan diri dalam hal ini kerana ia sudah melibatkan diri sultan dan rakyat selangor