Kawan-kawan setia

Isnin, 21 Julai 2008

Bapa Mohd. Saiful menuduh Anwar berdolak-dalik isu liwat

Utusan Malaysia online 21/07/2008 9:12pm
KUALA LUMPUR 21 Julai — Azlan Mohd Lazim, bapa kepada Mohd. Saiful Bukhari hari ini mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil sikap “berani kerana benar” sepertimana yang diamalkan oleh anaknya itu apabila membuat laporan polis bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah meliwatnya.
Katanya, Anwar sepatutnya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk membuat siasatan dakwaan liwat itu dan bukannya memberikan pelbagai alasan dan berdolak-dalik.
“Anak saya mengambil sikap berani kerana benar dan beliau tanpa sebarang masalah telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya bagi membantu polis,” katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh peguam Mohd. Saiful, Zamri Idrus di sini hari ini.
Mengakui sedih dengan apa yang berlaku terhadap Mohd. Saiful, 23, Azlan berkata, anaknya itu berkali-kali memaklumkan kepada beliau sekeluarga bahawa tindakannya membuat laporan polis itu semata-mata kerana kebenaran.
Azlan juga berkata, anaknya itu juga sanggup untuk bersumpah di masjid mengikut cara Islam dengan disaksikan para ulama demi untuk menegakkan kebenaran bahawa beliau telah diliwat oleh Anwar, 61.
Beliau berkata, langkah mengangkat sumpah itu boleh dibuat bila-bila masa sahaja tetapi sebaiknya biarlah selepas polis selesai membuat siasatan.
“Yang terpenting, saya dan keluarga saya memohon kepada pihak berwajib membawa individu yang terlibat ke muka pengadilan secepat mungkin,” katanya.
Mohd.Saiful pada 28 Jun lepas membuat laporan polis mendakwa Anwar meliwatnya pada 26 Jun di Kondominium Desa Damansara, di sini.
Anwar yang menafikan tuduhan itu telah memfailkan saman terhadap bekas pelajar Universti Tenaga Nasional itu pada 30 Jun lepas.
Sementara itu, Zamri berkata, bapa Mohd. Saiful berpuas hati dengan penyiasatan polis tetapi kecewa dengan tindakan Anwar yang didakwa enggan memberikan kerjasama dengan memberikan pelbagai alasan.
Zamri juga berkata, beliau telah melihat salinan laporan polis Mohd Saiful terhadap Anwar.
“Saya tidak tahu mengenai Anwar (yang mendakwa tidak diberikan salinan laporan polis Mohd Saiful terhadapnya).
“Polis mungkin mempunyai alasan mereka. (Tetapi) Saya telah melihatnya,” kata Zamri.
Peguam itu berkata, beliau mewakili Mohd. Saiful dalam saman sivil yang dikemukakan oleh Anwar terhadap Mohd. Saiful.
“Tujuan Mohd. Saiful melantik saya sebagai peguamnya ialah untuk mewakili Mohd. Saiful dalam saman sivil. Anda semua tahu yang Datuk Seri Anwar memfailkan saman sivil (terhadap Mohd. Saiful).
“Saman sivil itu akan diserahkan kepada Mohd. Saiful, lambat laun. Jadi, saya mewakilinya dalam saman sivil. Dan juga jika ada perbicaraan jenayah, saya akan bertindak sebagai peguam pemerhati,” katanya.— BERNAMA

2 ulasan:

pasbangi berkata...

Tiba-tiba saja timbul bapa saiful ni, selama ni kat mana menyembunyikan diri, dia tahu tak apa yang berlaku?, atau dengar khabar-khabar angin sahaja?

pasbangi berkata...

Dolak dalik maksudnya cakap berubah-ubah, yang aku baca melalui media perdana cakap berubah-ubah ni Najib:
1-Mula-mula cakap tak kenal
2-Kemudian cakap bisalah ambil gambar tu
3-Kemudian cakap saiful memang datang nak dapatkan biasiwa (walaupun dah direjek dari U)
3-Last sekali mengaku memang saiful datang jumpa, mengadu pasal di liwat