Kawan-kawan setia

Rabu, 23 Julai 2008

Beradu kekuatan antara kerajaan Terengganu dengan Menteri pusat


Kerajaan Terengganu akan terus guna Mercedes
23/07/2008 3:02pm

KUALA LUMPUR 23 Julai – Kerajaan Terengganu akan terus menggunakan kenderaan Mercedes sebagai kereta rasmi menggantikan Perdana V6 Executive kerana tindakan itu sejajar dengan kandungan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II).
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, jika kerajaan beranggapan langkah itu tidak tepat, maka pekeliling berkenaan juga perlu ditarik balik dengan segera.
Pekeliling itu mensyaratkan penggunaan kenderaan rasmi hanya terdiri kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD).
Penggunaan Mercedes E200 Kompressor memenuhi syarat berkenaan kerana model CKD itu dipasang di kilang di Pekan, Pahang.
Kerajaan Terengganu baru-baru ini telah membeli 14 buah kereta mewah tersebut dengan kos RM3.43 juta sebagai menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang baru sahaja dibeli pada tahun 2004.

Kerajaan Terengganu tetap perlu beli kereta nasional - Shahrir
23/07/2008 7:13pm

PUTRAJAYA 23 Julai — Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata kerajaan Terengganu tetap perlu membeli kereta nasional dan bukannya Mercedes Benz yang dipasang dalam negara untuk anggota pentadbirannya.
Beliau berkata kerajaan Terengganu telah tersilap tafsir maksud kenderaan yang dipasang dalam negara mengikut Arahan Penbendaharaan kerana ia tidak melibatkan kereta tetapi hanya melibatkan kenderaan lain termasuk jip dan pacuan empat roda.
“Kadangkala ada keperluan kenderaan seperti pacuan empat roda untuk jabatan kerajaan. Jabatan kerajaan juga ada guna jip, jika nak beli jip bukan yang diimport tetapi yang dipasang di sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said bahawa kerajaan negeri akan menggunakan kereta jenis Mercedes Benz sebagai kereta rasmi menggantikan Perdana V6 Executive kerana ia tidak melanggar Pekeliling Perbendaharaan yang berkaitan.
Shahrir berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet hari ini dan perbincangan berasaskan kepada Arahan Perbendaharaan itu.
“Memang dari segi kerajaan adanya Arahan Perbendaharaan yang membolehkan membeli kenderaan yang dipasang dalam negara tetapi bagi anggota pentadbiran, ianya khusus kepada kenderaan Proton Perdana Executive. Mungkin itu yang jadi salah faham.
“Mereka mungkin tak baca untuk anggota pentadbiran, maknanya menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, setiausaha politik dan juga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang perlu pakai Proton Perdana, bukan terbuka kepada kenderaan yang dipasang di dalam negara,” katanya.
Shahrir berkata tiada keputusan baru dibuat berhubung perkara itu.
“Keputusan sudahpun dibuat bahawa sebenarnya sudah ada Arahan Perbendaharan menyatakan bahawa untuk kegunaan anggota pentadbiran iaitu termasuk ahli majlis mesyuarat kerajaan, digunakan Proton Perdana Executive,” katanya.
Beliau berkata jikapun ada masalah mengenai kereta Proton, maka kerajaan negeri perlu memberi input kepada Proton untuk meningkatkan kualiti produknya. — BERNAMA

Tiada ulasan: