Kawan-kawan setia

Selasa, 29 Julai 2008

Berita Harian Online: Pas beri amaran DAP jangan campuri urusan parti

ALOR STAR: Pas hari ini memberi amaran kepada DAP untuk tidak mencampuri urusan parti itu sambil menegaskan bahawa ia berhak untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang diingininya, termasuk Umno. Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata Pas sama sekali tidak rela untuk mengikut telunjuk sesiapa dalam perjuangannya dan ekoran itu DAP yang menjadi sekutunya dalam Pakatan Rakyat tiada hak untuk menghalang atau menentukan tindak tanduk Pas. “Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya bekerjasama sebagai satu Pakatan Rakyat untuk menghadapi BN (Barisan Nasional) dalam pilihan raya lalu, bukan gabungan macam BN.
“Malaysia adalah negara bebas dan mengapa kita mesti mengikut telunjuk orang,” katanya ketika mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh agar Pakatan Rakyat mengkaji semula keanggotaan Pas berikutan tindakannya mengadakan rundingan dengan Umno demi perpaduan Melayu. Semalam, Karpal menganggap tindakan Pas itu sebagai tidak ikhlas kerana ia mengundang keraguan tentang kredibiliti parti itu dalam Pakatan Rakyat dan oleh itu keanggotaan Pas perlu dikaji semula. Kenyataan terbaru Karpal itu dilihat sebagai tanda perpecahan mula ketara dalam pakatan parti pembangkang itu.
Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Karpal tidak berhak untuk mempertikai sebarang tindakan yang diambil Pas atau meminta Pas merujuk dahulu kepada DAP atau Pakatan Rakyat jika ingin berbincang dengan Umno. “Karpal sendiri pernah menyatakan langkah mayat dia dulu kalau mahu Pakatan Rakyat berunding dengan Umno. Pas sudah melaksanakannya. Sekarang terpulang kepada dia (Karpal untuk tindakan lanjut),” katanya.
- Bernama

Tiada ulasan: