Kawan-kawan setia

Sabtu, 26 Julai 2008

Kos penyelenggaraan Proton Perdana munasabah

KUALA LUMPUR: Proton, pengeluar kereta nasional, mengulangi pendiriannya yang kos selenggaraan bagi model Proton Perdana adalah munasabah berdasarkan rekod daripada pusat servis dan cawangannya yang berdaftar. Katanya, purata kos selenggaraan bagi setiap unit Proton Perdana milik kerajaan Terengganu yang dihantar ke Proton ialah RM542 setahun, berdasarkan rekod bagi 35 kereta yang diservis di pusat servis Proton yang berdaftar.
“Umumnya, biasanya perbatuan perjalanan sebuah kenderaan bagi penggunaan biasa ialah antara 20,000km hingga 30,000km setahun. "Berdasarkan ini, kos purata selenggaraan bagi tempoh itu dianggarkan RM2,300 dan kos ini akan meningkat dengan penggunaan lebih kerap,” katanya dalam kenyataan hari ini. Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata Proton memandang serius perkara itu dan sedang menyemak semua data dan rekod servisnya bagi semua kenderaan Proton yang diserahkan kepada kerajaan, khususnya Perdana.
“Kami sedia memberikan semua bantuan yang diperlukan kerajaan negeri jika mereka memerlukan penjelasan berkaitan dengan model Perdana, atau mana-mana kenderaan Proton yang dibeli mereka,” katanya. - Bernama