Kawan-kawan setia

Rabu, 2 Julai 2008

Sinar Harian: Anwar fail saman malu terhadap Saiful

KUALA LUMPUR – Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman malu terhadap bekas pembantu peribadinya berhubung laporan polis yang dibuat pada 28 Jun lalu. :Writ saman yang difailkan melalui Tetuan Ranjit Ooi & Robert Low di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, semalam menamakan Anwar Ibrahim sebagai plaintif dan Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai defendan. Writ saman berkenaan menyatakan, laporan polis yang dibuat defendan terhadap plaintif menyatakan dirinya telah diliwat oleh plaintif tanpa kerelaan, dan dilakukan di Kondominium Desa Damansara dengan menyatakan kali terakhir kejadian tersebut berlaku pada 26 Jun 2008. Berikutan itu, plaintif mendakwa defendan dengan niat jahat membuat laporan polis berkenaan dengan dakwaan liwat untuk satu sebab yang tersembunyi dan sampingan bagi memburukkan plaintif dan merosakkan imej plaintif dari segi politik. Plaintif mendakwa defendan telah menulis dan menerbitkan perkataan-perkataan yang bermakna dan difahamkan sebagai 'inter alia' dalam laporan polis berkenaan. Makna yang difahamkan sebagai 'inter alia' dalam laporan berkenaan adalah plaintif melibatkan diri dalam kelakuan seks di luar tabii, plaintif adalah seorang homoseksual, plaintif melakukan satu perbuatan jenayah berkenaan dengan Seksyen 377A dan 377C Kanun Keseksaan 1976 dan plaintif melakukan satu kesalahan yang bertentangan dengan prinsip agama Islam. Akibat daripada laporan berkenaan, plaintif mengalami kerugian dan kerosakan. Berikutan itu, plaintif memohon mahkamah menghalang defendan dari melanjutkan penerbitan atau menyebabkan untuk diterbitkan perkataan-perkataan tersebut terhadap plaintif. Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi bagi kesusahan (vexatious) kegunaan proses, ganti rugi untuk kepalsuan yang berniat jahat, ganti rugi libel, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan lain-lain kos yang dianggap wajar dan patut diberikan oleh pihak mahkamah. Terdahulu, peguam R Sivarasa ketika ditemui dalam satu sidang media ringkas sejurus saman difailkan di lobi mahkamah memberitahu, tindakkan memfailkan saman tersebut dilakukan bagi membersihkan kembali dakwaan yang dilakukan defendan terhadap plaintif. “Perkara ini akan dibincangkan di Dewan Bankuet di bangunan Parlimen kira-kira jam 1 petang ini (semalam) untuk membincangkan implikasi berhubung laporan polis terbabit,” katanya sambil memberitahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya tidak dapat hadir ke mahkamah bersama-sama bagi urusan memfailkan saman berkenaan

Tiada ulasan: