Kawan-kawan setia

Khamis, 14 Ogos 2008

Adun Nusajaya disah hidap Chikungunya

GELANG PATAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nusajaya, Datuk Aziz Sapian disahkan menghidap Chikungunya selepas mengalami demam serta sakit sendi selain tidak lalu makan sejak seminggu lalu. Aziz yang juga Ketua Umno bahagian Gelang Patah, berkata pada mulanya, beliau tidak menyangka rasa tidak lalu makan serta sakit sendi berpunca daripada penyakit berkenaan kerana berasa ia sakit biasa.
"Sebagai Adun serta Ketua Umno bahagian, saya kerap keluar berjumpa orang ramai dan adakalanya rasa sebegitu berpunca daripada keletihan tetapi selepas ia mula berpanjangan, saya mengambil keputusan berjumpa doktor," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Aziz berkata, selepas mendapati simptomnya sama seperti demam denggi, doktor kemudian menjalankan ujian darah dan mendapati bahawa ia bukan denggi sebaliknya, disahkan Chikungunya. Beliau berkata, penyakit berkenaan tidak mempunyai sebarang ubat khusus, dan beliau hanya mengamalkan minum banyak air serta berehat.
"Pada awal menghidap penyakit ini, semua sendi sakit selain tidak lalu makan dan rasa pahit serta tawar... tidak lama kemudian, ruam mulai naik tetapi sekarang, saya sudah mula rasa sihat sedikit," katanya. Sementara itu, pada mesyuarat Umno cawangan bahagian berkenaan, Aziz mendapat 20 pencalonan manakala pencabarnya, Samat Atan, 10 pencalonan. Jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan penyandangnya, Pandak Ahmad mendapat 27 pencalonan, dua lagi pencabar, Ibrahim Atan (8) dan Dr Zaini Abu Bakar (4). Bagi jawatan Naib Ketua Umno bahagian pula, Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Khairy Abd Malik mendapat 27 pencalonan, Ir Nasir Hashim (8) dan Melan Lamin (3).
Umno Bahagian Gelang Patah mempunyai 66 cawangan dengan 27 daripadanya akan bersidang sebelum 24 Ogos depan

Tiada ulasan: