Kawan-kawan setia

Khamis, 7 Ogos 2008

MStar online:Anwar didakwa pukul 10 pagi ini, dibela sembilan peguam

Oleh G. MANIMARAN, ZANARIAH ABD. MUTALIB, ARIFFUDDIN ISHAK dan LEE YAN XIU
PETALING JAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi esok untuk menghadapi tuduhan meliwat.
"Esok saya akan menghadapi pertuduhan fitnah yang saya tidak lakukan, tuduhan yang digunakan untuk aibkan sama seperti pada tahun 98 dan 99," kata beliau pada sidang akhbar kira-kira pukul 3.15 petang semalam di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini.
Beliau akan diwakili pasukan sembilan peguam termasuk R. Sivarasa, Sankara Nair, Saiful Izham Ramli dan Sulaiman Abdullah.
Dengan ditemani ahli keluarga termasuk isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa pemimpin PKR dan pasukan peguamnya, Anwar memberitahu, beliau menerima sapina daripada polis kira-kira sejam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumakn tarikh pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, beliau tetap akan bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut walaupun ditahan dalam lokap sementara menanti perbicaraan kelak.
Anwar dijangka didakwa di bawah Seksyen 377A ataupun Seksyen 377C Kanun Keseksaan, berkaitan dengan perbuatan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 377A, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dirotan manakala Seksyen 377C pula membawa hukuman tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman dirotan.
Seksyen 377A dan 377C tidak membenarkan jamin diberikan. Bagaimanapun di bawah Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah, mahkamah boleh membenarkan jamin.
Dengan suara yang kelihatan 'agak sedih' di peringkat awal ketika membacakan kenyataan akhbar yang disediakan, Ketua Umum Pakatan Rakyat itu mengulangi bahawa tuduhan yang bakal hadapi esok - kali kedua dalam tempoh 10 tahun - merupakan satu lagi konspirasi politik kerajaan.
"Keputusan (membawa ke mahkamah) tidak mungkin berlaku tanpa arahan peribadi Perdana Menteri.
"Saya mendapat maklumat siasatan (dakwaan meliwat ini) menghadapi banyak masalah kerana tidak cukup bukti," katanya.
Anwar menambah, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggunakan kesnya itu untuk mengalih perhatian daripada masalah-masalah yang dihadapinya.
"Hari ini Perdana Menteri ada krisis kepimpinan dan keyakinan semakin merudum," katanya lagi.
Terdahulu, Ketua Jabatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin mengesahkan bahawa pegawai penyiasatnya, ASP Jude Pereira telah pergi ke rumah Anwar untuk menyampaikan sapina tersebut.
Ketika ditanya apakah kandungan sapina berkenaan, Bakri bagaimanapun enggan mengulas.
"Maaf saya tidak boleh mendedahkan apa kandungan sapina tersebut," kata beliau ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Tiada ulasan: