Kawan-kawan setia

Isnin, 11 Ogos 2008

Barang kemas Ar-Rahn berjuta ringgit dilarikan

Utusan Malaysia:KOTA BHARU 10 Ogos – Premis sistem gadaian Islam, Ar-Rahn Kota Bharu di Jalan Temenggong di sini diceroboh masuk tengah malam semalam dan barang kemas dianggarkan bernilai jutaan ringgit dilarikan.
Pihak pengurusan Ar-Rahn dan polis bagaimanapun belum mendedahkan jumlah sebenar kerugian.
Kes kecurian yang dianggap terbesar di negeri ini hanya disedari kira-kira pukul 3 pagi ini apabila ibu pejabat pengendali sistem penggera keselamatan di Kuala Lumpur mengesan sistem penggera di premis berkenaan tidak berfungsi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata di sini hari ini, kejadian disedari oleh pengurus pajak gadai berkenaan yang berusia dalam lingkungan 40-an selepas dihubungi kakitangan syarikat pengendali sistem penggera.
Beliau berkata, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu oleh seorang kakitangannya sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Katanya, sebaik menerima laporan, sepasukan pegawai dan anggota polis dengan kerjasama pengurus pajak gadai telah pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.
Ar-Rahn Kota Bharu yang dimiliki oleh Permodalan Kelantan Berhad (PKB) merupakan salah satu daripada 13 cawangan di negeri ini dan ia merupakan yang terawal ditubuhkan serta mengendalikan perkhidmatan terbesar.

Tiada ulasan: