Kawan-kawan setia

Selasa, 26 Ogos 2008

BPR, The Star disaman RM100 juta

Oleh AHAD SYAKIR SAZILIahmadsyakir.sazili@kosmo.com.my
IPOH - Dua Exco kerajaan Perak semalam memfailkan saman malu terhadap Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan akhbar The Star berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam kes rasuah wang tunai dan seks.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Perak, Kapten (B) Osman Mohd. Jailu, 57, dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perdagangan Perak, Jamaluddin Mohd. Radzi, 52, memfailkan saman ganti rugi am berjumlah RM100 juta di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pukul 8.30 pagi.
Kedua-duanya menamakan BPR, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, Pengarah BPR Perak, Shamsiah Abu Bakar dan Star Publication (M) Berhad sebagai defendan dan menuntut ganti rugi am untuk salah tangkap, salah tahan dan pendakwaan berniat jahat.
Mereka turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos dan apa-apa relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Berdasarkan kandungan writ saman yang dikemukakan melalui peguam Mohamed Asri Othman itu, Jamaluddin selaku plaintif kedua menyatakan dua defendan iaitu Ahmad Said dan Shamsiah tanpa sebab yang munasabah, secara salah telah menangkap dan menahannya semasa dia diminta memberi kenyataan di pejabat BPR Perak.
Kedua-dua plaintif turut mendakwa kedua-dua defendan tersebut juga telah menyebabkan atau menyebarkan kenyataan kepada media secara salah dan niat jahat pada 20 Ogos lalu.

Tiada ulasan: