Kawan-kawan setia

Jumaat, 1 Ogos 2008

Elektrik mengamuk menjelang kenaikan tarif

Kecoh 'amukan' elektrik
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMI
Enanhidayat.nanazmie@kosmo.com.my
JOHOR BAHRU - Taman Pulai Utama di sini yang selama ini tenteram tiba-tiba kecoh semalam apabila penduduk bergegas keluar dari rumah masing-masing ekoran peralatan elektrik mereka tiba-tiba meletup.
Kejadian itu membabitkan ratusan peralatan elektrik termasuk yang baru dibeli sekali gus menyebabkan penduduk kerugian ribuan ringgit.
Ia yang bermula kira-kira pukul 2 petang dan berlarutan sehingga empat jam kemudian menyebabkan para penduduk terpaksa berhimpun di luar rumah kerana khuatir perkara tidak diingini berlaku.
Penduduk yakin kejadian itu berpunca daripada kegiatan mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di rumah pencawang taman tersebut sehingga mengakibatkan arus voltan yang berlebihan.
Seorang penduduk, Ang Sau Teng, 53, berkata, pada mulanya dia menyangkakan ada gangguan 'makhluk halus' di rumahnya.
"Apa tidaknya, mula-mula televisyen meletup, kemudian pendingin hawa dan pelbagai barangan elektrik lain, macam berjangkit pula sehingga panik dibuatnya.
"Keadaan menjadi lebih kelam-kabut apabila saya lihat semua jiran lari bertempiaran ke luar rumah kerana mengalami situasi yang sama," katanya kepada Kosmo!.
Difahamkan, kawasan perumahan teres setingkat itu mula didiami sejak tiga tahun lalu dengan kos RM152,000 seunit.
Seorang lagi penduduk, R. Krisna, 29, berkata, dia percaya kejadian yang berlaku kali pertama itu disebabkan oleh pencuri kabel.
"Mereka (suspek) macam pelesit, kami semua memang tidak sedar mengenai kegiatan mereka.
"Alih-alih, kami lihat pencawang terbabit sudah ada tanda-tanda diceroboh selepas cuba mengenal pasti punca kejadian," katanya.
Seorang lagi penduduk, S. Elangoo, 29, pula berkata, dia kerugian hampir RM10,000 apabila kesemua barangan elektrik seperti televisyen, peralatan Astro, komputer, ketuhar dan kipas tiba-tiba meletup dan mengeluarkan bau hangit.

Nota:
pasbangi mencadangkan kepada pengguna yang menggunakan barangan elektrik yang sensitif dan mahal supaya keluarkan sedikit bajet beli VOLTAGE STABILIZER/REGULATOR supaya dapat mengelakkan kenaikan mendadak sumber kuasa yang kemungkinan disebabkan oleh kerosakan sistem transformer di pencawang. Untuk kepastian sila hubungi TNB yang berdekatan.

Tiada ulasan: