Kawan-kawan setia

Jumaat, 1 Ogos 2008

Harakahdaily: Muhamad Sabu pelawa Adnan, Tajol dan Khir sertai PAS

Oleh Roy Rasul & Tarmizi Mohd Jam Thu Jul 31, 08 6:25:48 pm MYT
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Hrkh) - PAS mempelawakan Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob, bekas Menteri Besar Perak dan Selangor, Dato' Seri Tajol Rosli dan Dato Seri Mohd Khir Toyo menyertai parti itu kerana perjuangan mereka dalam Umno sudah tidak memberi apa-apa makna setelah Umno ditolak rakyat pada pilihan raya umum yang lalu.
Naib Presidennya, Muhamad Sabu amat mengalu-ngalukan ketiga-tiga pemimpin Umno itu menyertai PAS dan meninggalkan Umno dalam keadaan parti itu sedang sakit tenat dan memerlukan rawatan dari luar.
Beliau yang diwawancara Harakahdaily sejurus selepas mesyuarat bersama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dengan Majlis Syura Ulama petang tadi berkata, PAS membuka pintu seluas-luasnya untuk semua ahli dan pendokong Umno agar berhijrah meninggalkan parti itu dan menyertai PAS demi perpaduan Melayu dan agama Islam.
"Eloklah mereka bertiga dan tokoh-tokoh Umno yang sayangkan Islam, masuk PAS bagi penyatuan umat Islam untuk perkuat perpaduan Melayu dan perkasakan agama Islam di negara ini," katanya di Pejabat Agung, dekat sini.
Sementara itu, Pesuruhajaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menyokong penuh pelawaan Muhamad dan PAS negeri itu bersedia membuka ruang sebesar-besarnya bukan sahaja kepada Adnan Yaakob tetapi seluruh ahli Umno.
"Sebabnya jika kita bersatu atas nama Islam kita selamat dunia dan akhirat. Bagi kami, tokoh-tokoh Umno yang sayang agama sepatutnya dia bersama dengan PAS," katanya yang ditemui di Pejabat Agung, sebentar tadi.
Menurutnya sudah sampai masa, PAS dan Umno membuat perubahan ke arah memperkukuh dan menegakkan Islam. Walaupun PAS Pahang ditawarkan jawatan Menteri Besar dan exco tetapi bagi Tuan Ibrahim, PAS tetap tidak akan berkerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional.
"Jika ini berlaku, ia satu anjakan pradigma baru dalam dunia politik negara," ujarnya.- tmj

Tiada ulasan: