Kawan-kawan setia

Khamis, 7 Ogos 2008

Harakahdaily:Tidak mengaku bersalah, Anwar diikat jamin RM20 ribu

Thu Aug 07, 08 10:50:10 am MYT
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Hrkh) - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak mengaku bersalah ke atas pertuduhan meliwat Saiful Bukhari Azlan oleh mahkamah pagi ini dan dikenakan ikat jamin sebanyak RM20,000.
Beliau yang tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi disambut oleh pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat dan kira-kira 300 penyokong. Anwar dilihat memasuki mahkamah kira-kira jam 9.57 pagi.
Wartawan Nyza Ayob, Salmiyah Harun dan Nuha Rahim yang berada di lokasi melaporkan antara pemimpin utama Pakatan Rakyat yang berada di mahkamah ialah Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Pada masa yang sama suatu kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat mengedarkan kenyataan bersama kepada media dan orang ramai untuk menyokong Anwar.
Dalam kenyataan tersebut, Pakatan Rakyat sepakat menganggap pendakwaan yang dihadapkan ke atas Anwar merupakan suatu kezaliman politik yang bukan sahaja membicarakan Anwar, tetapi rakyat seluruh negara terheret sama.
Kenyataan yang ditandatangani Wan Azizah, Husam dan Karpal itu menegaskan, jika Anwar terus ditahan dan tidak dibenarkan diikat jamin, Wan Azizah akan menjadi penyelaras Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.
PAS, KeADILan dan DAP juga sepakat bersetuju bahawa dalam apa keadaan sekalipun, Anwar adalah calon Pakatan Rakyat bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Sehubungan itu, ketiga-tiga parti gabungan Pakatan Rakyat sepakat membentuk jawatankuasa bersama untuk mengembleng tenaga petugas sepenuhnya untuk membantu kemenangan Anwar.
Kenyataan itu turut mengesahkan, selepas kemenangan di Permatang Pauh, Anwar akan dilantik menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, mulai 28 Ogos depan. - mr/mks._

Tiada ulasan: