Kawan-kawan setia

Sabtu, 2 Ogos 2008

Lagi-lagi akibat kecurian kabel

JOHOR BAHRU - Ada yang dilihat mengangkat mesin basuh, tidak kurang juga sanggup mengangkat peti televisyen 29 inci. Semuanya gara-gara mahu menuntut pampasan.
Bagi penghuni kira-kira 100 buah rumah di Taman Pulai Utama, di sini, mereka sudah tidak peduli kerana apa yang penting, peralatan elektrik yang rosak akibat arus berlebihan pada Rabu lalu, perlu diganti.
Untuk itu, mereka sanggup membawa barangan dan berjalan kaki sejauh kira-kira 100 meter ke pejabat pemaju dekat situ untuk menunjukkan peralatan yang rosak.
Pengerusi jawatankuasa penduduk, Azmi Abdullah berkata, hasil perbincangan sesama sendiri, mereka memutuskan untuk menuntut pampasan keseluruhan berjumlah RM1 juta dari Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Kosmo! semalam melaporkan rintihan lebih 100 penduduk taman tersebut yang secara puratanya rugi RM10,000.
Usaha untuk mendapatkan maklum balas pemaju bagaimanapun tidak berjaya apabila mereka enggan bekerjasama.
Seorang penduduk, S. Elangoo berkata, dia terpaksa menenangkan anak kecilnya yang sering menangis kepanasan selepas hampir keseluruhan barangan elektrik dalam rumah rosak.
K. Manivasagam pula berkata, mereka terpaksa menghabiskan barang mentah serta dimasak segera ekoran peti ais rosak.
"Kami juga dinasihat supaya tidak membaiki dahulu barangan elektrik yang rosak bagi dijadikan bukti,'' katanya.
Sementara itu, TNB mengesahkan kejadian itu berpunca daripada kecurian kabel neutral sepanjang 10 meter dari rumah pencawang taman perumahan berkenaan.
Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor, Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin berkata, kejadian pencerobohan itu menyebabkan kabel lain tidak dapat menampung bekalan voltan yang tinggi dan berlaku aliran arus berlebihan.
Mengulas mengenai tuntutan pampasan, Mohd. Aminuddin berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum menerima apa-apa permohonan.
Bagaimanapun, beliau berjanji akan menyiasat dan hanya akan membayar pampasan jika terbukti ia akibat kecuaian TNB.

Nota: Mungkin pembaca masih ingat kecurian sekrew pencawang di Sabah yang menyebabkan menara penghantaran letrik tumbang yang mengakibatkan seluruh Sabah menghadapi krisis tenaga. Bila menara sementara didirikan tumbang juga, yang menyebabkan ramai pekerja TNB jatuh dan dihempap menara yang menyebabkan kematian dan cedera parah. Bunyinya macam drama sahaja, sebenarnya inilah malapetaka terhadap rakyat Malaysia. Kecurian-kecurian harta awam oleh penagih dan pencuri besi kini ditahap kritikal dan perlu ditangani segera oleh pemerintah. Kalau anda melalui Jalan Pantai Bahru, berhampiran Menarat TM, Ibu pejabat Syabas dan betul-betul dihadapan kakilima Balai Polis Jalan Pantai Bahru, anda akan dapati semua penutup longkang lesap dan longkang terbiar tanpa penutup yang tentunya membahayakan orang ramai. Namun siapa yang peduli, Bandaraya?, Polis?...

Tiada ulasan: