Kawan-kawan setia

Khamis, 21 Ogos 2008

MB Perak pertahankan anggota exco

20-08-2008 Bernama IPOH: Kerajaan negeri Perak mempertahankan dua anggota exconya yang ditahan Badan Pengecah Rasuah (BPR) kerana dipercayai terlibat dengan rasuah dan mendakwa ia berpunca daripada konspirasi politik, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
"Kerajaan Pakatan Rakyat menafikan ada meluluskan manamana projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar. Projek tak wujud jadi mustahil keduadua exco boleh membantu meluluskan projek.
"Kami yakin kedua-dua exco dan rakan-rakan telah dianiaya. Kerajaan Pakatan Rakyat tidak tergugat dan akan terus tadbir dan urus negeri seperti biasa," katanya mengulas kes penahanan dua anggota exco atas tuduhan rasuah selepas mempengerusikan mesyuarat Pakatan Rakyat di kediamannya di sini, hari ini.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah naib presiden PKR Dr Lee Boon Chye, pengerusi PKR negeri Ismail Yusof dan pengerusi DAP Datuk Ngeh Koo Kham serta Anggota Dewan Undangan Negeri pakatan itu.
Menurut Mohammad Nizar, kerajaan negeri tidak akan menghalang BPR daripada menjalankan siasatan ke atas mana-mana adunnya.
Hari ini, BPR menahan dua anggota exco kerajaan negeri Perak yang ditahan bersama empat lelaki lain oleh kerana disyaki terlibat dalam rasuah berkaitan satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dekat sini.
Mereka juga disyaki terlibat dengan rasuah seks.
Menurut BPR, tiga daripada suspek termasuk seorang daripada anggota exco itu ditangkap sejurus selepas mereka disyaki menerima suapan lebih RM100,000 sebagai balasan untuk mempercepatkan proses permohonan projek perumahan itu.
"Biarlah proses undang-undang berjalan," katanya, sambil menambah beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kes itu untuk mendedahkan pembohongan dan penyelewengan kes itu.
Selain itu, Mohammad Nizar berkata Pakatan Rakyat juga akan menubuhkan panel peguam untuk membantu pembelaan.
Mesyuarat Pakatan Rakyat yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar itu berlangsung selama satu setengah jam. BERNAMA

Tiada ulasan: