Kawan-kawan setia

Rabu, 27 Ogos 2008

Menyorot kembali laporan MStar 24 Ogos, telahan hampir tepat, boleh jadi ahli nujum

Majoriti Anwar sekitar 15,000? Calon BN kata ia angka "mustahil"24-08-2008 02:06:30 AM Oleh G. MANIMARAN
PERMATANG PAUH: Selepas kempen hanya tinggal dua hari sebelum melangkah ke pusat pengundian Selasa ini, pelbagai pihak sudah mula bercakap mengenai siapa yang bakal dimahkotakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh?
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merampas semula kerusi yang pernah disandangnya dari 1982 hingga 1999? Ataupun muka baru tetapi orang lama Permatang Pauh, Datuk Arif Shah Omar Shah akan dipilih sebagai wakil rakyat yang baru?
Ataupun bukan kedua-dua mereka. Sebaliknya calon ketiga - Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat pula mengisi kekosongan yang wujud?
Di atas kertas Anwar dan Arif nampak sama hebat, sekali gus tidak menganggap Hanafi atau yang turut dikenali sebagai "Haji Pi" dalam poster kempennya bakal menggemparkan Permatang Pauh.
Jika mengambil kira Anwar dan Arif semata-mata siapa yang bakal menang? Jika salah seorang daripada mereka menang, apakah majoritinya?
Risikan mStar Online menunjukkan sehingga kini kelebihan masih memihak kepada Anwar. Ini turut diakui oleh pegawai jentera pilihan raya Anwar yang dihubungi malam tadi dan perkembangan sambutan kunjungan ceramah-ceramah dihadiri Anwar.
Semalam seorang pegawai kanannya mengatakan bahawa Anwar boleh menang dengan kelebihan 15,000 undi.
Hari ini anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin ketika dihubungi memberitahu, penilaian awal sehingga malam tadi menunjukkan Anwar sepatutnya menang dengan majoriti lebih besar berbanding keputusan 8 Mac lalu.
"Kami menjangkakan akan memperoleh majoriti lebih besar daripada pilihan raya umum lalu, sedikit lebih besar daripada majoriti Mac lalu.
"Tetapi perlu diakui bahawa wujud pelbagai taktik kotor dan penipuan sejak beberapa hari lalu. Ini antara kemungkinan yang boleh menjejaskan majoriti besar yang diharapkan," katanya

Tiada ulasan: