Kawan-kawan setia

Sabtu, 16 Ogos 2008

Saya bukan ahli politik Mat Jenin – Hadi

Oleh AZNAN BAKAR Utusan malaysia
IPOH 15 Ogos – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak berkelakuan seperti ‘Mat Jenin’ dengan berangan-angan untuk menjadi Perdana Menteri.
Katanya, soal siapa yang akan jadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang membentuk kerajaan masih terlalu awal untuk dibincangkan.
“Saya tidak akan jadi ahli politik Mat Jenin,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Ke-54 di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas cadangan Dewan Ulama Pas yang mahukannya menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang benar-benar dapat membentuk kerajaan pada 16 September ini.
Diminta mengulas adakah rujukan kepada ‘Mat Jenin’ itu bermaksud beliau tidak bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, Abdul Hadi hanya berkata: “Mat Jenin, baru panjat pokok kelapa saja, belum dapat buah dah bercita-cita nak jadi raja.”
Menurut Abdul Hadi, cita-cita beliau setakat ini adalah supaya Islam diperjuangkan dan dibuktikan kehadirannya di Malaysia tanpa mengira siapa yang menjadi Perdana Menteri.
Ditanya adakah kenyataannya itu bermakna Pas mengiktiraf dan mahukan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Abdul Hadi menjawab:
“Apa pun kena tunggu Anwar menang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh terlebih dahulu dan hingga berlaku perubahan di Parlimen.
“Kita tunggu beliau (Anwar) menang dahulu, lepas menang kita tunggu 16 September.”
Ahli Parlimen Marang itu menambah, pakatan pembangkang sendiri tidak pernah berbincang soal siapa yang akan menjawat jawatan Perdana Menteri jika ia berpeluang mengambil alih pemerintahan negara.
Abdul Hadi menegaskan, pengisian jawatan Perdana Menteri mesti berteraskan Melayu dan Islam.
Perkara itu, katanya, disedari dan tidak dipertikaikan oleh sesiapa termasuk para pemimpin DAP.
Katanya, prinsip politik yang sama juga berlaku dalam Barisan Nasional (BN) apabila parti komponen bukan Melayu menerima pemimpin Melayu dalam UMNO sebagai Perdana Menteri.
“Teras (siapa yang jadi Perdana Menteri) kepada Islam dan Melayu,” tegasnya.
Pas juga, ujar Abdul Hadi, tidak semestinya menjadi teras dalam pakatan pembangkang kerana ia lebih bergantung kepada penerimaan rakyat.
Ditanya kemungkinan Pas sedia menerima pemimpin DAP dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri jika impian menubuhkan kerajaan menjelang 16 September menjadi realiti, beliau berkata, semuanya bergantung kepada penerimaan rakyat.
“Kita tidak mahu buat keputusan dalam sidang akhbar,” katanya.
Mengenai tindakan beberapa wakil Dewan Pemuda Pas yang meminta parti itu berhati-hati dengan Anwar, Abdul Hadi berkata, itu merupakan sebahagian daripada proses demokrasi.
“Yang akan buat keputusan ialah peringkat kepimpinan tertinggi Pas,” katanya

Tiada ulasan: