Kawan-kawan setia

Khamis, 25 September 2008

Anwar: 'Deadline' bukan isu, Pakatan hantar surat kepada Agong

MStar, KUALA LUMPUR: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, pihaknya akan menghantar sepucuk surat kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung proses peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada pembangkang dan permintaan untuk diadakan satu sesi khas Parlimen.
Anwar, yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, sekali lagi mendakwa telah mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk sebuah kerajaan baru.
"Surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyentuh mengenai proses peralihan kuasa secara aman dan sidang khas Parlimen bagi mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi).
"Kita (Pakatan Rakyat) masih mengemukakan tuntutan supaya Perdana Menteri menghormati hak rakyat yang memilih kami," katanya kepada pemberita selepas menghadiri prosiding kes liwat terhadapnya di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini hari ini.
Anwar ditemani isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PKR, dan anak mereka Nurul Izzah, yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai.
Ketika mengulas mengenai suratnya yang meminta Perdana Menteri mengadakan sidang khas Parlimen, Anwar berkata Abdullah tidak memberi sebarang jawapan berhubung perkara itu kecuali membuat kenyataan untuk tidak memenuhi tuntutan berkenaan.
Anwar juga masih enggan mengumumkan nama anggota-anggota Parlimen yang beliau dakwa akan menyertai Pakatan Rakyat.
"Saya ada bilangan majoriti. Pasal deadline (tarikh untuk menubuh kerajaan baru) bukanlah satu isu," katanya.
Sementara itu dalam blognya hari ini, Anwar berkata, beliau dan teman-teman dalam Pakatan Rakyat tetap yakin dan percaya bahawa hasrat rakyat untuk melihat perubahan akan menjadi kenyataan.
"Kami akan meneruskan usaha dengan penuh hemah dan berhati-hati demi mencapai matlamat dan telah mencapai kata sepakat untuk tidak melayan sebarang provokasi mahupun pendekatan yang tidak bertanggungjawab serta membawa kepada ketidakstabilan dan ketidaktentuan buat negara."
Kata Anwar, beliau tidak tahu mengenai adanya perundingan yang dilakukan antara Pakatan Rakyat dan Perdana Menteri.
"Kenyataan yang telah dibuat semalam menyarankan ruang komunikasi yang dibuka telah disalah tafsir," katanya lagi

Tiada ulasan: