Kawan-kawan setia

Selasa, 16 September 2008

Calon PAS pemenang sah DUN Sanglang, tidak perlu pilihan raya kecil

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Sanglang di Perlis yang dimenangi oleh Abdullah Hassan daripada Barisan Nasional(BN) dan kosong hampir tiga bulan lepas, diberikan kepada calon PAS Hashim Jasin.
Ketika membenarkan rayuan Hashim, panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Alaudin Mohd Sheriff dan HakimHakim Mahkamah Persekutuan Datuk Arifin Zakaria serta Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara memutuskan Hashim yang sepatutnya dipilih sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sanglang.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, dengan keputusan itu pilihan raya kecil bagi kerusi itu tidak perlu diadakan.
"Dengan ini kes (petisyen) ini selesai. Keputusan mahkamah ini adalah tepat," katanya.
Kata beliau, perkembangan hari ini sama dengan keputusan ke atas petisyen membabitkan kerusi Parlimen Pasir Puteh dalam pilihan raya umum 2004.
Mahkamah turut memutuskan bahawa Abdullah yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 8 Mac tidak dipilih sebagai ADUN kawasan Sanglang.
Pada 18 Jun, Mahkamah Tinggi Kangar mengisytiharkan kerusi DUN kawasan Sanglang yang dimenangi oleh Abdullah sebagai kosong selepas membatalkan petisyen yang dikemukakan oleh Hashim yang memohon perisytiharan bahawa beliau adalah pemenang bagi kerusi berkenaan.
Dalam keputusannya, Hakim Pilihan Raya Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani memutuskan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengisytiharkan Hashim sebagai wakil rakyat bagi kerusi berkenaan memandangkan Seksyen 35(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang memberi kuasa kepada Mahkamah Pilihan Raya untuk membuat perisytiharan seperti itu, dimansuhkan pada 2003.
Hakim Zainal Adzam berkata, mahkamah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan sama ada akan mengadakan pilihan raya kecil dan bila untuk mengadakannya.
Hashim, yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis, memfailkan petisyen pada 24 April untuk membatalkan keputusan pilihan raya bagi kerusi DUN Sanglang atas alasan beliaulah yang sepatutnya diisytiharkan sebagai pemenang.
Hashim menamakan Abdullah, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi Parlimen Arau Muhamad Daud Abdull Hamid dan SPR sebagai responden.
Beliau kemudian merayu kepada Mahkamah Persekutuan.
Dalam pilihan raya itu, Abdullah menang dengan majoriti 149 undi setelah memperoleh 3,384 undi manakala Hashim mendapat 3,235 undi.
Abdullah, 46, yang dihubungi di Putrajaya dari Kangar, menyifatkan apa yang berlaku sebagai suratan takdir.
Anggota jawatankuasa Umno bahagian Arau itu berharap apa yang berlaku akan memberi kekuatan baru kepada Umno agar kerusi Sanglang dimenangi semula oleh Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke13 kelak.Ekoran perintah mahkamah itu, PAS kini mempunyai dua kerusi di Dewan Undangan Negeri Perlis dan BN 13.

Tiada ulasan: