Kawan-kawan setia

Jumaat, 26 September 2008

Murugiah jawab Syed Hamid: 'Ini urusan saya'

Mstar, KLANG: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah mempertahankan tindakannya berhubung isu makanan bagi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Menjawab kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar kelmarin yang meminta beliau supaya tidak campur tangan dalam urusan kementeriannya, Murugiah berkata, beliau terkejut mendengar komen sedemikian daripada seorang menteri yang senior.
Kata Murugiah, beliau hanya melakukan tugasnya iaitu menerima aduan dan menyelesaikan masalah.
“Kenyataannya (Syed Hamid) yang meminta saya tidak campur tangan dalam urusan orang ramai adalah seperti meminta saya dan 270 kakitangan di Biro Pengaduan Awam supaya tutup kedai.
“Biro menerima kira-kira 180 aduan tentang setiap kementerian daripada Januari hingga Ogos dan bagaimana saya boleh lakukan tugas saya jika saya tidak boleh ‘campur tangan’ dalam kementerian lain,” soal beliau di sini semalam.
“Biro Pengaduan Awam berada di atas semua kementerian lain apabila tiba hal mengendalikan aduan,” katanya selepas melawat SJK (T) Batu Ampat di Jalan Kota Raya di sini.
Syed Hamid semalam berkata, Murugiah tidak sepatutnya mencampuri urusan kementerian lain.
Katanya, tindakan Murugiah bercakap bagi pihak Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung aduan yang beliau tidak dihidangkan makanan yang sesuai ketika ditahan di bawah ISA adalah seperti menjadi "jurucakap kepada pembangkang."
Murugiah berkata, Syed Hamid sepatutnya bercakap terus berhubung hal itu kepadanya dan bukan memberi komen kepada terbuka.
“Saya cuba melakukan sesuatu yang baik untuk orang ramai, melayan setiap orang dengan adil tanpa mengira sama ada aduan itu daripada kerajaan, pembangkang atau orang awam.
“Sebagai menteri yang baru, saya akan selalu menerima dengan hati terbuka jika beliau (Syed Hamid) mahu membimbing saya atau menunjukkan saya cara terbaik dalam menjalankan tugas saya,” katanya.
Ini adalah kali kedua Syed Hamid meminta rakan-rakan sekerjanya dalam Barisan Nasional (BN) supaya tidak campur tangan dalam urusan kementeriannya.
Awal bulan lalu, beliau mengkritik pemimpin-pemimpin BN yang mempertikaikan keputusannya menahan tiga orang awam di bawah ISA termasuk Teresa.

Tiada ulasan: