Kawan-kawan setia

Selasa, 16 September 2008

Zaid tetap letak jawatan

PUTRAJAYA: Datuk Zaid Ibrahim tetap dengan keputusannya untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri walaupun diminta oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memikirkannya semula.
"Saya sudah memikirkan sedalamdalamnya untuk melepaskan jawatan walaupun dalam pertemuan dengan Perdana Menteri semalam beliau menasihatkan saya untuk bercuti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zaid berkata antara sebab peletakan jawatannya ialah kegagalan beliau memperkenalkan beberapa dasar baru dalam sistem perundangan selain kecewa dengan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang pada anggapannya sudah disalah gunakan.
Beliau turut mengakui menerima banyak tentangan bukan sahaja daripada rakan dalam kabinet malah daripada anggota Umno.
"Banyak desakan yang suruh saya letak jawatan dalam persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang kononnya saya bukan pejuang Melayu, pejuang bangsa dan pejuang Islam tetapi bagi saya bangsa Melayu akan lebih baik dengan dasar-dasar yang saya utamakan," katanya. Zaid berkata ekoran keputusannya itu, beliau tidak akan bercuti sebaliknya terus meletakkan jawatan.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan mengekalkan kedudukannya sebagai senator.
Menghurai tindakannya meletakkan jawatan itu, Zaid berkata beliau tidak mahu membebankan Perdana Menteri dengan permasalahan yang diwujudkannya kerana adalah lebih baik membiarkan Abdullah menyelesaikan isuisu lain yang lebih penting terutamanya berhubung Perhimpunan Agung Umno.
Pada awalnya, katanya, beliau menerima tawaran memegang jawatan itu dengan harapan untuk menukar beberapa dasar dan dapat melaksanakan undang-undang yang adil serta mengurangkan unsur-unsur salah guna kuasa.
"Sebagai menteri yang dikira menteri undang-undang, setiap perkara yang berkaitan dengan undangundang, saya perlu bertanggungjawab," katanya.
Zaid berkata bahawa disebabkan pandangannya kebelakangan ini, banyak masalah timbul.
"Semua masalah ini membebankan Perdana Menteri yang turut berdepan dengan tekanan.
Maka saya tidak mahu bebankan beliau lagi, jadi saya membuat keputusan yang terbaik untuk saya, untuk parti, untuk negara, untuk semua dan untuk PM," katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan kekal dalam Umno atau menyertai Pakatan Rakyat, Zaid berkata : "Soalan ini sukar kerana dalam satu hal, Umno tidak melayan saya dengan baik selama ini.
"Keahlian saya digantung kerana perkara yang bukan saya lakukan, pencalonan saya (bagi Ketua Umno) Kota Baharu juga bermasalah, tak sah semua, dan ramai yang membidas saya, jadi saya fikir saya perlu ubah tetapi saya tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa," katanya.
Ketika ditanya mengenai rancangannya selepas ini, Zaid, yang juga seorang peguam, berkata beliau tidak akan kembali berkhidmat sebagai seorang peguam tetapi akan menubuhkan sebuah yayasan bagi merapatkan hubungan antara kaum.
Zaid, yang bukan seorang Anggota Parlimen, dilantik sebagai senator untuk menyertai kabinet yang dibentuk selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas. BERNAMA

Tiada ulasan: