Kawan-kawan setia

Jumaat, 17 Oktober 2008

Bandar Baru Bangi terputus bekalan air

DENGKIL: Kerakusan pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan dengan mengorek pasir menyebabkan tiga paip utama di Kampung Revolusi Hijau di sini yang membekalkan air ke daerah Sepang, Kuala Langat dan Hulu Langat, pecah. Akibatnya, kira-kira 75,000 akaun atau dianggarkan 350,000 pengguna di tiga kawasan terbabit mengalami gangguan bekalan air mulai pagi semalam. Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Datuk Lee Miang Koi, berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada aktiviti mengorek pasir berhampiran kawasan berkenaan.“Siasatan awal mendapati tiga batang paip bersaiz 1,500 milimeter (mm), 1,200mm dan 1,050mm di Kampung Revolusi Hijau pecah dan kami syak ia disebabkan kerja mengorek pasir. “Sehubungan itu, kami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kira-kira jam 12 tengah hari tadi (semalam) supaya siasatan terperinci dijalankan.
“Sekiranya terbukti paip berkenaan pecah akibat kegiatan mengorek pasir, kami akan menuntut ganti rugi daripada pihak terbabit,” katanya ketika ditemui ketika meninjau ke kawasan paip pecah terbabit, petang semalam. Hadir sama, Pengarah Eksekutif Operasi Syabas, V Subramaniam. Berikutan kejadian itu, Lee berkata, Syabas mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Merah bagi memastikan masalah itu dapat diatasi segera selain melantik kontraktor serta-merta untuk kerja pembaikan tiga paip itu. “Kami sudah menggerakkan 33 lori tangki bagi membekalkan air buat sementara waktu kepada tiga kawasan terbabit, manakala sembilan lori tangki diletakkan dalam keadaan bersiap sedia bergantung kepada permintaan.
“Kami turut menyediakan 438 tangki statik di kawasan yang dikenal pasti bagi memudahkan penduduk mendapat bekalan air dan membuka pusat operasi krisis 24 jam di ketiga-tiga daerah terbabit,” katanya. Lee berkata, tempoh gangguan tidak dapat dipastikan kerana ia membabitkan paip utama yang memerlukan jangka masa panjang dan dianggarkan tempoh tiga hari dari tarikh pembaikan paip berkenaan. “Lagipun kami terpaksa membuat jajaran semula sejauh 200 meter berikutan paip berkenaan tidak selamat untuk digunakan. “Kami juga perlu mendapat kelulusan Pejabat Daerah Sepang kerana jajaran baru membabitkan tanah orang kampung,” katanya. Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) di talian bebas tol, 1800-88-5252. Sementara itu, tinjauan Harian Metro ke kawasan berkenaan mendapati parit kecil berhampiran paip utama itu mengalami hakisan, manakala laluan ke ladang kelapa sawit terputus akibat tanah runtuh. Malah, terdapat kesan parit berkenaan dikorek, seolah-olah empangan untuk melebarkan kawasan itu bagi mengelakkan air mengalir ke kawasan pengorekan pasir. Seorang saksi, Munirin Rahmah, 35, berkata ketika dalam perjalanan ke ladang kelapa sawit berhampiran kawasan itu kira-kira jam 8 pagi, dia mendapati terdapat kesan tanah runtuh di sekitar parit. “Semalam hujan lebat, jadi air parit ini melimpah...saya percaya pihak yang mengorek pasir cuba membuat empangan dengan melebarkan kawasan parit dan dihadang beberapa batang pokok kelapa sawit. “Tetapi, empangan itu tidak dapat menampung jumlah air yang terlalu banyak, lalu meruntuhkannya sebelum mengalir ke kawasan pengorekan pasir,” katanya

Tiada ulasan: