Kawan-kawan setia

Selasa, 7 Oktober 2008

Berita Harian 2: Sesi Perbicaraan Mahkamah RPK

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini semalam diberitahu artikel yang didakwa berunsur hasutan, ditulis pengendali dan penulis blog Malaysia-Today, Raja Petra Raja Kamarudin hanya berdasarkan namanya (Raja Petra) seperti tertera dalam artikel itu. Saksi pertama pendakwaan, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Harme Mohamed, 39, berkata pengesahan hanya dibuat berdasarkan nama Raja Petra yang tertera sebagai penulis artikel yang bertajuk ‘Let's send the Altantuya murderers to hell’ dalam laman web www.malaysia-today.net pada 25 April lalu. Beliau berkata, menerusi dokumen laporan Malaysia Today yang ditunjukkan kepadanya di mahkamah, semalam, nama Raja Petra memang tertera dalam artikel 25 April lalu.


“Laman web Malaysia-Today berada dalam kawalan Raja Petra, dan mengikut dokumen ini namanya tertera sebagai penerbit artikel bertarikh 25 April 2008 itu,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Roslan Mat Nor. Sementara itu, ketika disoal balas peguam Raja Petra, J Chandra, beliau bagaimanapun mengakui tiada sebarang bukti lain bagi mengesahkan ia ditulis Raja Petra. Malah, katanya, laporan pemeriksaan disediakan oleh unit forensik komputer SKMM tidak menyatakan bila artikel itu diterbitkan.
Raja Petra yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) turut hadir ke mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi ditemani isterinya, Marina Lee Abdullah, anak mereka dan kira-kira seratus penyo-kongnya. Menjawab soalan Chandra, Harme tidak menolak kemungkinan orang lain menggunakan nama Raja Petra untuk menerbitkan artikel dalam Malaysia-Today selepas dia ditahan mengikut ISA, 12 September lalu. “Walaupun hanya pemilik blog saja mempunyai nama dan kata laluan untuk memasuki laman itu, namun jika ia dikongsi dengan orang lain, sudah tentu sesiapa saja boleh memasuki laman terbabit untuk menerbitkan sebarang artikel,” katanya. Pada 6 Mei lalu, Raja Petra didakwa di mahkamah kerana menerbitkan artikel berbentuk menghasut bertajuk `Let's send the Altantuya murderers to hell' di laman web www.malaysia.today.net dan dituduh melakukan perbuatan itu di No 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini, 25 April lalu.
Raja Petra turut diwakili Amarjeet Singh, manakala pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Farhan Read yang akan memanggil tujuh lagi saksi. Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung hari ini.

Tiada ulasan: