Kawan-kawan setia

Selasa, 7 Oktober 2008

Petikan berita Berita Harian

Dua negeri sokong uji HIV
KUALA LUMPUR: Kelantan dan Terengganu menyambut baik langkah kerajaan mewajibkan ujian saringan HIV kepada pasangan Islam di negara ini mulai tahun depan, berikutan langkah itu mampu melahirkan generasi baru yang bebas penyakit berisiko, di samping meningkatkan kebahagiaan keluarga. Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Abd Aziz Abd Rahman, berkata Kelantan sudah menguatkuasakan peraturan itu sejak 1 Januari 2006 dan setakat ini sekurang-kurangnya lima bakal pengantin lelaki dikesan positif HIV. Beliau berkata, Kelantan menyokong pelaksanaan syarat mewajibkan semua pasangan Islam yang akan berkahwin di negara ini, menjalani saringan HIV sebelum melangsungkan pernikahan mulai tahun depan kerana ia mampu meningkatkan kerukunan rumah tangga.
“Menerusi ujian ini, bakal pengantin boleh mengetahui status kesihatan diri pasangan masing-masing. “Sejak saringan HIV diwajibkan di Kelantan, kita mengesan antara lima hingga enam bakal pengantin di negeri ini terutama lelaki, positif HIV. “Bakal pengantin yang dikesan menghidap HIV dirujuk kepada pegawai kaunseling Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam JAHEIK dan turut dimaklumkan kepada pasangan mereka.
“Pasangan berhak membuat keputusan sama ada mahu membatalkan pernikahan yang dirancang atau meneruskannya. “Ibu bapa terutama wali pengantin perempuan juga akan dipanggil untuk kaunseling dan mereka berhak membuat keputusan, sama ada anaknya wajar meneruskan pernikahan atau sebaliknya,” katanya. Beliau mengulas laporan muka depan Berita Harian semalam, ujian saringan HIV terhadap pengantin baru akan dikuatkuasakan secara menyeluruh kepada semua pasangan pengantin Islam. Abd Aziz berkata, jika masih mahu meneruskan perkahwinan, pasangan yang menghidap HIV dinasihatkan lebih berhati-hati dan dirujuk kepada pegawai perubatan bagi mengelak zuriat hasil perkongsian hidup mereka turut terkena jangkitan penyakit itu,” katanya.
Sementara itu, kerajaan Terengganu tidak menghalang bakal pengantin yang menghidap HIV meneruskan perkahwinan, tetapi pasangan dan ahli keluarga mereka perlu dimaklumkan mengenai jangkitan itu bagi memudahkan pengambilan langkah pencegahan. Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri itu, Khazan Che Mat, berkata langkah kerajaan mewajibkan bakal pengantin menjalani kursus perkahwinan lebih 10 tahun lalu bertujuan memudahkan ujian saringan HIV dilakukan kepada setiap pasangan. “Kita menyokong peraturan untuk mewajibkan pasangan Islam menjalani ujian HIV sebagai syarat sebelum dibenar melangsungkan pernikahan,” katanya ketika dihubungi, semalam. Khazan berkata, walaupun perbincangan lanjut membabitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) belum dilakukan termasuk kaedah akan digunakan untuk memudahkan ujian, kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju agar penguatkuasaan peraturan itu dilaksanakan.

Tiada ulasan: