Kawan-kawan setia

Sabtu, 25 Oktober 2008

Sinar Harian: Bajet Negeri Selangor 2009

BAJET Selangor 2009 yang dibentangkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Isnin lalu mendapat reaksi positif pelbagai pihak walaupun ada sesetengah menganggapnya sebagai bajet populis. Golongan berpendapatan rendah dan miskin di Selangor terbela dengan mendapat lebih banyak manfaat dari bajet itu.

Tidak ketinggalan usaha pentadbiran baru kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor untuk mengekalkan taraf negeri maju dan bersedia bekerja keras bagi ‘memewahkan rakyat Selangor’ menerusi pelaksanaan beberapa program dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor. Kami sempat mendapatkan komen dari Pakar Ekonomi Kanan Bank Islam Malaysia Berhad, Azrul Azwar Tajuddin mengenai bajet Selangor 2009. Ikuti pandangannya:

Secara keseluruhannya, Bajet 2009 Negeri Selangor dengan jelas menunjukkan suatu anjakan paradigma di mana kerajaan negeri cuba mencapai keseimbangan di antara pembangunan fizikal, kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta pemuliharaan alam sekitar menerusi hala tuju strategik dan perancangan berteraskan prinsip keupayaan (competence), kebertanggungjawaban (accountability) dan ketelusan (transparency) dalam segala urusan pentadbiran dalam kerajaan negeri, agensi, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan organisasi lain yang berkaitan.

Agenda Merakyatkan Ekonomi yang juga tema bagi Bajet Negeri Selangor 2009 dan objektif jangka panjang kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat ini sememangnya jelas mencirikan bajet ini baik secara harfiah atau atau dalam semangatnya kerana rakyat telah dikenal pasti sebagai aset utama dan nadi penggerak kemajuan.

Adalah ketara bahawa niat dasar serta segala langkah dan inisiatif Bajet 2009 ini adalah untuk menjana pembangunan yang memberi pengertian kepada rakyat jelata tanpa mengira kaum, agama, usia, darjat atau pegangan politik di samping menggalakkan semangat keusahawanan terutamanya di kalangan belia (45% daripada jumlah penduduk negeri Selangor) dan menarik pelaburan domestik dan antarabangsa.

Memandangkan Selangor sudah berjaya menjadi ‘developed state’ sejak tahun 2005, fokus kerajaan negeri terhadap usaha pengagihan saksama (to spread the wealth) secara terus dan telus nikmat daripada kemajuan yang dikecapi oleh negeri Selangor selama ini dialu-alukan dan bertepatan dengan masanya.

Untuk melaksanakan agenda kebajikan ini, Kerajaan Negeri Selangor akan menyiapkan ‘Dasar Kebajikan Negeri Selangor’ di mana kumpulan sasar adalah golongan kurang upaya, orang miskin, warga emas, masyarakat orang Asli, ibu tunggal dan insan kurang bernasib baik. Dengan anggaran bahawa 90% penduduk negeri Selangor tinggal di kawasan bandar, definisi kemiskinan berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGL) seisi rumah di bawah RM731 sebulan bagi kemiskinan menyeluruh dan di bawah RM419 sebulan bagi kemiskinan tegar tidak realistik dan tidak cukup untuk menampung keperluan minimum sesebuah isi rumah memandangkan lonjakan kos sara hidup diakibatkan oleh kenaikan harga bahan api, makanan dan sebagainya. Dengan menaikkan paras PGL kepada RM1,500 sebulan, lebih ramai rakyat Selangor layak mendapat bantuan kerajaan walaupun kadar kemiskinan Selangor kini berada pada sekitar 30% dan bukannya 1.1% seperti yang dicatatkan berdasarkan PGL lama.

Namun, Bajet 2009 ini sama sekali tidak mengabaikan sektor korporat dan menggariskan inisiatif ke arah menjadi destinasi pelaburan utama di Malaysia dalam semua sektor terutamanya perindustrian/pembuatan, perkhidmatan dan pertanian untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk negeri Selangor. Bajet 2009 juga menekankan betapa pentingnya agar sistem penyampaian kerajaan (public delivery system) ditambahbaik untuk menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pelabur.

Kerajaan Negeri Selangor sememangnya berhasrat menarik pelaburan baharu berjumlah RM12 bilion setahun, bermula daripada tahun 2009 demi mencapai sasaran pelaburan melebihi RM35 bilion dalam tempoh RMK-9 (2006-2010). Menerusi Selangor State Investment Corporation (SSIC), Kerajaan Negeri Selangor sedang merangka strategi seperti Lembah Kelang 2 sebagai zon pelaburan; konsep hub serantau dengan membangunkan Selangor sebagai hub industri halal merangkumi makanan halal serta kewangan dan perbankan Islam, hub pendidikan tinggi, hub industri solar, hub akua kutur moden dan sebagainya; penubuhan Industrial Park Management Group (IPMG), bermula di tiga kawasan dan akan perluas ke semua zon perindustrian secara berperingkat-peringkat dan berdasarkan keperluan semasa.

Bajet ini wajar diberi pujian kerana walaupun perbelanjaan sosial bagi kebajikan rakyat meningkat selaras dengan konsep kerajaan berkebajikan, Kerajaan Negeri Selangor masih mampu mengunjurkan suatu bajet berimbang (balanced budget) dan mengelakkan defisit dengan mengamalkan tadbir urus yang telus, berhemah dan berhemat. Bagaimanapun, adalah lebih berwaspada jika seterusnya Kerajaan Negeri dapat mengurangkan lagi perbelanjaan terutamanya belanja mengurus serta meningkatkan lagi hasil pendapatan untuk mendapat ‘surplus’ atau lebihan sebagai bekal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Memikul amanah mengurus kewangan negeri, Kerajaan Negeri Selangor menganjurkan urus tadbir perbelanjaan yang telus, cekap dan berjimat-cermat berdasarkan prinsip ‘alah membeli menang memakai’ dan garis panduan perbelanjaan berhemat untuk Kerajaan Negeri dan segala organisasi berkaitan dengan:

(a) berhati-hati membelanjakan wang rakyat untuk mengelakkan pembaziran, ketirisan atau perbelanjaan yang tidak membawa pulangan atau manfaat yang wajar kepada rakyat

(b) memastikan tender terbuka dan telus untuk mengelakkan kenaikan kos pembinaan atau/dan penyelenggaraan bagi infrastruktur dan prasarana awam lain serta penyelewengan/rasuah dalam projek-projek Kerajaan

(c) mematuhi disiplin kewangan yang tinggi

(d) menggandakan hasil pendapatan Kerajaan Negeri melalui peningkatan royalti bahan batuan, program pembangunan sumber air khususnya sungai, perlesenan bahan pencemar (effluent discharge) dan perlaksanaan konsep “Let Polluters Pay!”, program rakan pintar (smart partnership) bersama PBT, NGOs dan pihak swasta, kajian semula kadar caj abstraksi air mentah, selaras dengan kenaikan kadar tarif air yang dirawat

(e) mengamalkan sistem kutipan tunggakan cukai secara tuntas

Sebelum meluluskan dan melaksanakan sesuatu projek yang melibatkan wang Kerajaan Negeri ataupun penswastaan sebarang utility/kemudahan awam, suatu “cost-benefit analysis” perlu dijalankan untuk mengelakkan situasi berat sebelah di mana projek tersebut akan memberi keuntungan hanya kepada syarikat-syarikat tanpa perlu menanggung sebarang risiko tetapi rakyat pula yang terpaksa menanggung beban kenaikan tarif atau harga yang tidak munasabah.

Bagaimanapun, sasaran pertumbuhan KDNK sebanyak 5.9% pada tahun 2008 dan 5.7% pada tahun 2009 bagi Negeri Selangor mungkin terlalu optimistik dan sukar untuk direalisasikan memandangkan kemelesetan ekonomi dunia yang semakin meruncing diakibatkan oleh kemelut kewangan global yang serius terutama di kalangan negara-negara maju di mana krisis sub-prima adalah penyebab utama serta kesannya ke atas eksport Malaysia.

Malah, sebilangan besar pakar ekonomi meramalkan bahawa KDNK Malaysia akan berkembang pada kadar sekitar 3% hingga 4% pada tahun 2009 dan di antara 5% dan 5.5% pada tahun 2008. Berkemungkinan besar Kerajaan Negeri Selangor perlu menyemak semula sasaran pertumbuhan KDNK khususnya bagi tahun 2009.

Secara kesimpulannya, Kerajaan Negeri Selangor berazam ‘memajukan negeri dan memewahkan rakyat Selangor’ yakni mentadbir untuk kebajikan rakyat dengan menjamin pertumbuhan ekonomi yang mapan dan memastikan ‘no Selangorian left behind’ atau tiada rakyat Selangor yang ketinggalan dalam arus pembangunan ini. Ini penting untuk memastikan kestabilan sosioekonomi dan politik Selangor, keharmonian antara kaum dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya

Tiada ulasan: