Kawan-kawan setia

Khamis, 23 Oktober 2008

Sinar Harian: Kerajaan negeri komited atasi kilang haram

SHAH ALAM - Kerajaan negeri masih meneruskan Dasar Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran sehingga tahun 2010 dengan memberikan kumpulan sasaran yang terlibat memutihkan operasi mereka.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, berkata, mereka yang terlibat boleh membuat permohonan pertukaran kategori dan syarat nyata tanah daripada pertanian kepada industri serta mendapatkan kelulusan bagi bangunan atau premis yang digunakan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Kerajaan negeri telah meluluskan insentif-insentif di bawah dasar ini antaranya, pengurangan premium tambahan iaitu potongan diberikan sebanyak 50 peratus, 30 peratus, dan 10 peratus bagi mereka yang membayar dalam tempoh tiga bulan, enam bulan dan sembilan bulan masing-masing,” katanya sewaktu menjawab pertanyaan yang diberikan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dalam Sidang DUN semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga membenarkan bayaran premium dibuat secara ansuran sebanyak 12 kali dalam tempoh 18 bulan atau 24 bulan dan pemilik tanah dikecualikan daripada dikenakan Premium khas atau denda yang ditetapkan di bawah Kaedah 11(6), Kaedah-kaedah Tanah Selangor 2003 kepada pemilik tanah yang melanggar syarat kegunaan tanah.

Katanya, untuk mempercepatkan proses tukar syarat, kuasa meluluskan permohonan tukar syarat telah diturunkan kepada Pentadbir Tanah tertakluk kepada kilang-kilang yang berada di dalam zon yang ditetapkan.

“Insentif juga diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Kebenaran Merancang (KM) dan pelan bangunan diproses serentak, denda KM digugurkan, denda Pelan Bangunan dikurangkan lima kali, bayaran denda lain juga dibenarkan dibayar secara beransur-ansur sebelum CF dikeluarkan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, sebagai insentif lain, perlanjutan tempoh pajakan tanah pertanian yang kurang daripada 15 tahun diluluskan atas kegunaan industri dan premium berdasarkan nilaian semasa dikenakan.

“Caruman Infrastruktur sosial sebanyak RM50 ribu seekar di Lembah Klang dan RM35 ribu seekor bagi kawasan di luar Lembah Klang juga dikecualikan,” katanya.

Beliau berkata, Program ‘Outreach’ telah dilaksanakan seperti pengedaran brosur, turun padang khidmat nasihat dan bantuan melengkapkan borang-borang berkenaan oleh pegawai-pegawai kepada pemilik-pemilik atau pengusaha-pengusaha Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) juga dijalankan.

Katanya, terdapat sebanyak 37 KTK beroperasi di bawah kawasan Majlis Perbandaran Selayang dan 33 Lesen Sementara telah dikeluarkan dan antara sebab utama mengapa kilang ini wujud adalah kerana pemilik tanah kurang faham mengenai tukar syarat kegunaan tanah dan menyebabkan mereka tidak membuat permohonan.

Katanya, pemilik tanah juga sukar mendapatkan pinjaman untuk menjelaskan premium tambahan yang dikenakan kerana pemilik tanah telah berusia dan tidak layak untuk membuat pinjaman.

Tiada ulasan: