Kawan-kawan setia

Khamis, 23 Oktober 2008

UMNO beralih arah, mengadakan perhimpunan, bertakbir

(Foto hiasan, tiada kena mengena dengan laporan akhbar)

PETALING JAYA 22 Okt. - Kira-kira 200 ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang hari ini mengadakan perhimpunan aman bagi membantah cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Dr. Mohd. Nasir Hashim yang mahu menyalurkan sebahagian peruntukan zakat kepada bukan Islam di Selangor.

Mereka membawa bersama sepanduk dan kain rentang yang mengutuk cadangan tersebut sambil melaungkan kata-kata seperti 'Hidup Melayu' dan 'Allahuakbar'.

Perhimpunan selama sejam bermula pukul 5 petang itu diadakan di hadapan pejabat Pusat Khidmat ADUN Kota Damansara di sini, diketuai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang, Harrison Hassan.

Harrison yang juga Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO berkata, sebagai seorang wakil rakyat beragama Islam, Mohd. Nasir sepatutnya tidak membuat cadangan sedemikian.

"Kita membantah sekeras-kerasnya cadangan tersebut dan memberi amaran supaya dia tidak membangkitkan lagi perkara ini," katanya kepada pemberita di sini.

Pada perhimpunan itu, beliau turut menyerahkan memorandum bantahan kepada setiausaha Mohd. Nasir, A. Sivarajan.

Kandungan memorandum tersebut juga mendesak Mohd. Nasir memberikan maklum balas terhadap bantahan yang dibuat itu.

Semalam, sewaktu sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Mohd. Nasir mencadangkan kerajaan negeri supaya menyalurkan sebahagian peruntukan zakat kepada bukan Islam di Selangor.

Cadangan itu adalah sebagai salah satu pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan negeri pakatan pembangkang untuk menangani masalah kemiskinan di kalangan bukan Islam.

Menurut Harrison, cadangan berkenaan adalah mustahil dilaksanakan berikutan kutipan zakat diperoleh daripada orang Islam.

Tiada ulasan: