Kawan-kawan setia

Khamis, 20 November 2008

Diskaun tol biar menyeluruh

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL(WARTAWAN UTUSAN)
TANPA boleh menafikan, tawaran diskaun kadar tol sebanyak 10 peratus kepada pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Elite seperti yang diumumkan semalam merupakan satu kelegaan yang cukup besar kepada pengguna jalan raya.
Malah langkah syarikat PLUS Expressway Berhad itu diharapkan turut disusuli oleh syarikat pengendali lebuh raya lain terutamanya yang beroperasi bagi perjalanan dalam bandar di sekitar Lembah Klang.
Bagaimanapun dalam meneliti tawaran diskaun itu, dapat diperhatikan ia sebenarnya tidak lebih daripada strategi dari perspektif ekonomi bertujuan mendapat lebih keuntungan daripada peningkatan kadar trafik di lebuh raya.
Ini kerana penawaran diskaun itu secara tidak langsung menggalakkan lebih ramai pemandu menggunakan lebuh raya berbanding jalan negeri terutamanya bagi perjalanan jarak jauh kerana penurunan kadar tol yang agak tinggi.
Meskipun diskaun kadar tol itu ditawarkan pada waktu perjalanan yang agak janggal dan sangat jarang dilakukan iaitu pada tengah malam sehingga awal pagi, namun ia masih merupakan satu penjimatan yang sangat besar kepada pengguna jalan raya.
Mengambil contoh penjimatan sebanyak RM2.70 perjalanan dari Plaza Tol Jalan Duta ke Plaza Ipoh Selatan melalui Lebuh Raya Utara-Selatan misalnya, ia sekurang-kurangnya mampu mengurangkan beban kos perjalanan dalam situasi ketika ini.
Namun dalam menawarkan diskaun kadar tol itu, ia tidak seharusnya dilihat dari perspektif ekonomi semata-mata, sebaliknya sumbangan syarikat dengan keuntungan jutaan ringgit itu kepada masyarakat dari sudut khidmat sosial.
Sebagai pengguna yang tidak mempunyai banyak pilihan untuk bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi melainkan menggunakan lebuh raya, syarikat pengendali seharusnya memperluaskan tawaran diskaun kadar tol itu kepada seluruh pengguna jalan raya.
Antaranya seperti yang dijelaskan oleh Ketua Program Pengurusan Persekitaran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor, ialah dengan memberikan diskaun kepada pengguna pada waktu puncak atau perdana iaitu ketika lebuh raya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna.
Ia termasuk memberikan diskaun kadar tol pada hari-hari tertentu dalam seminggu atau sebulan pada waktu perjalanan padat seperti sebelum dan selepas waktu pejabat.
''Pemberian diskaun ini secara tidak langsung dapat dinikmati oleh semua pengguna lebuh raya berbanding hanya segelintir pemandu seperti tawaran diskaun yang diumumkan," katanya.
Dalam menyambut baik diskaun kadar tol lebuh raya itu juga, ia bagaimanapun tidak dapat mengelak daripada kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya terutamanya kadar kemalangan yang sudah sedia tinggi di negara ini.
Umum mengetahui 80 peratus daripada punca kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh kecuaian pemandu termasuk memandu dalam keadaan letih dan mengantuk kerana rehat yang tidak mencukupi.
Malah, kesilapan mengatur jadual perjalanan juga iaitu pada sebelah malam yang kebiasaannya digunakan untuk tidur turut meningkatkan risiko terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Risiko kemalangan jalan raya itu pula dengan mudah dapat dikaitkan dengan tambahan 10 peratus lagi kadar diskaun tol yang diberikan bagi pemanduan bermula tengah malam sehingga awal pagi pada musim perayaan.
Memilih
Tambahan diskaun itu boleh mendorong pengguna jalan raya memilih untuk memulakan perjalanan yang panjang pada waktu yang tidak tepat iaitu tengah malam semata-mata untuk mengejar kadar diskaun tol tersebut. Dengan pertambahan kenderaan di lebuh raya pada waktu yang sama, risiko kemalangan akibat mengantuk atau keletihan itu juga menjadi semakin besar.
Dari sudut yang lain, pertambahan bilangan kenderaan yang keluar semata-mata untuk berjimat kadar tol itu juga akan menyebabkan kepadatan trafik yang luar biasa.
Bagi mereka yang pernah terperangkap dalam kesesakan sewaktu cuti perayaan umum seperti Hari Raya Aidilfitri yang baru lalu misalnya, pasti menyedari betapa azabnya perjalanan memandu ketika musim perayaan.
Sebagai contoh perjalanan dari Plaza Tol Duta ke Plaza Tol Ayer Keroh yang kebiasaannya mengambil masa hanya satu jam, mampu mencecah sehingga lebih tiga jam pada kebanyakan waktu ketika musim perayaan. Bayangkan pula bagaimana sesaknya apabila kebanyakan pengguna keluar pada waktu yang sama semata-mata untuk mendapatkan tambahan diskaun tol sebanyak 10 peratus tersebut?
Seharusnya pada musim perayaan yang sudah diketahui bilangan kenderaan akan meningkat berpuluh kali ganda, syarikat pengendali lebuh raya lebih berbesar hati untuk memberikan diskaun kadar tol secara lebih menyeluruh.
Malah, syarikat-syarikat ini sebenarnya masih mampu menjana keuntungan sekiranya diskaun tol itu diberikan sepanjang hari sekali pun kerana hakikat bahawa pengguna jalan raya juga akan bertambah secara mendadak pada musim perayaan.
Justeru adalah wajar sekiranya PLUS Expressway Berhad serta syarikat pengendali lebuh raya lain tampil dengan cadangan penurunan tol yang tidak hanya bersandarkan kepada perspektif ekonomi semata-mata, sebaliknya lebih utama mendahulukan keselamatan pengguna jalan raya.
Seperkara yang turut menarik perhatian ialah kesediaan 22 syarikat konsesi lebuh raya kecuali Maju Expressway mendedahkan kepada umum perjanjian konsesi antara kerajaan dengan syarikat pengendali lebuh raya terbabit.
Pendedahan itu berikutan persetujuan Kabinet terhadap memorandum Kementerian Kerja Raya bertajuk Pengelasan Semula Perjanjian Konsesi Lebuh Raya yang Sedang Beroperasi Supaya Dapat Didedahkan Kepada Umum.
Ramai yang sememangnya ternanti-nantikan butiran lengkap perjanjian konsesi itu yang boleh didapati mulai 1 Januari kerana ia antara lain akan menemukan kepada jawapan kewajaran syarikat lebuh raya untuk menaikkan kadar tol bagi selama masa tertentu.
Butiran perjanjian konsesi itu juga bakal menjelaskan mengenai isu-isu yang menjadi perdebatan umum setiap kali ketika kadar tol dinaikkan terutamanya dakwaan bahawa ia berat sebelah dan menguntungkan pemegang konsesi tol.
Paling akhir kadar tol dinaikkan ialah pada 1 Januari 2007 membabitkan lima lebuh raya di sekitar Lembah Klang dengan kenaikan antara 20 peratus hingga 60 peratus atau 30 sen hingga RM1.
Namun timbul persoalan mengenai kewajaran mendeklasifikasikan dokumen perjanjian itu yang boleh dikelaskan sebagai rahsia rasmi kerajaan dan sekiranya butiran itu didedahkan sama sekali, siapa sebenarnya yang mendapat manfaat?
Bagaimanapun bagi Abd. Rahim, keputusan mendedahkan butiran perjanjian itu adalah satu langkah yang tepat dalam memberikan gambaran sebenarnya perjalanan operasi lebuh raya di negara ini kepada seluruh rakyat.
Sebagai pengguna yang membayar tol setiap kali menggunakan lebuh raya katanya, rakyat mempunyai hak untuk meneliti semua aspek mengenainya termasuk operasi syarikat konsesi serta aliran kewangan syarikat terbabit.
Sementelah butiran dokumen perjanjian itu juga tidak membabitkan isu-isu keselamatan negara, maka adalah sangat wajar bagi kerajaan berkongsi maklumat tersebut dalam merungkai kemelut berhubung perjanjian konsesi.

Tiada ulasan: