Kawan-kawan setia

Rabu, 5 November 2008

Kota Bharu Bandaraya Islam@Wi-Fi City


KOTA BHARU, 4 Nov (Hrkh) - Kota Bharu kini melangkah setapak lagi ke arah memperkenalkan perkhidmatan Wi-Fi (akses internet tanpa wayar) secara percuma, kata anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohd Fadzli Hassan.
Beliau berkata, sebuah konsultan yang dilantik sedang mengkaji sejauh mana kemampuan perkhidmatan Wi-Fi dapat dilaksanakan di Kota Bharu bagi kemudahan orang ramai mengakses internet.
"Malah Kota Bharu mungkin bandar pertama di negeri ini yang menyediakan perkhidmatan Wi-Fi percuma, biar pun Pulau Pinang juga sudah mengisytihar kemudahan internet percuma.
"Wi-Fi City bukan sekadar mahu Kota Bharu dikenali dengan pelbagai panggilan seperti Kota Budaya atau sebagainya, tetapi Wi-Fi merupakan satu program baru yang dirancang kerajaan negeri," katanya di sini.
Menurutnya sekarang beberapa tempat sudah dapat diakses internet secara percuma antaranya kompleks Kota Darulnaim, hotel-hotel dan restoran-restoran makanan segera.
Beliau berkata internet turut menyumbang kepada gejala negetif sekiranya pengguna sengaja mengakses kepada laman-laman web yang tidak bermanaat.
"Jika keadaan itu tidak ditangani dengan betul menyebabkan masyarakat menjadi porak-peranda terutama membabitkan perilaku seksual dan jenayah termasuk di kalangan remaja.
"Teknologi maklumat memberi kesan amat besar kepada status sosial, budaya dan kegiatan ekonomi rakyat," katanya.
Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi menjelaskan kerajaan negeri sentiasa mengikuti perkembangan bidang sains dan teknologi.
Mulai Khamis ini akan berlangsung Karnival Sains dan Teknologi Peringkat Negeri 2008 bertempat di Balai Islam. Karnival itu diadakan sehingga 9 November.
Beliau juga berharap media nasional turut melaporkan secara jujur program-program yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi membolehkan lebih ramai lagi rakyat mengetahui perkembangan yang berlaku. - mj

Tiada ulasan: