Kawan-kawan setia

Khamis, 20 November 2008

Petronas bayar RM66.6b royalti sejak 1990

KUALA LUMPUR 20 Nov. — Sejumlah RM66.6 bilion royalti minyak dan gas telah dibayar oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan dan tiga negeri pengeluar minyak dari tahun kewangan berakhir 31 Mac 1990 hingga tahun kewangan berakhir 31 Mac tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri S.K. Devamany berkata daripada jumlah itu, sejumlah RM33.3 bilion telah dibayar kepada Kerajaan Persekutuan, RM11.9 bilion kepada Sarawak, RM 3.4 bilion kepada Sabah dan RM18.0 bilion kepada Terengganu.
“Bagaimanapun sejak Ogos 2000, Petronas telah membayar royalti kerajaan negeri Terengganu kepada Dana Khas Kerajaan Persekutuan,” katanya menjawab soalan Datuk Richard Riot Jaem (BN-Serian) pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Riot meminta kementerian menyatakan jumlah royalti minyak yang telah diberikan kepada negeri-negeri pengeluar minyak sejak 1990 hingga sekarang.
Dalam perkembangan lain, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata keperluan Permit Import (AP) bagi aktiviti mengimport simen dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak sudah dimansuhkan selepas 5 Jun tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) yang meminta kementerian menyatakan halangan dari segi undang-undang yang melarang pengimportan simen dari Semenanjung ke Sarawak dan sebab larangan itu dikenakan.
— BERNAMA

Tiada ulasan: